MASYARAKAT diseru mempertahankan dan menghayati erti kemerdekaan dengan tindakan yang mampu menjadi benteng penjajahan bentuk baharu iaitu pemikiran, budaya dan ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata perpaduan negara sering dicemburui oleh pihak luar dan sentiasa mendapat ancaman menerusi ledakan teknologi maklumat dan komunikasi masa kini.
“Rakyat Malaysia terutama ibu bapa di luar sana perlu memainkan peranan bercerita kepada generasi muda mengenai sejarah kemerdekaan dengan cara penyampaian yang kreatif agar tidak membosankan.
“Dengan pengetahuan yang disalurkan, pastinya akan terbit nilai patriotisme dan perjuangan dalam diri generasi muda,” katanya.
Rithuan berkata demikian semasa merasmikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.
Tambah Rithuan, sambutan tersebut dilaksanakan bukan hanya bertujuan mencapai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) semata-mata tetapi penglibatan dalam program sebegitu merupakan kesinambungan daripada kisah perjuangan tokoh-tokoh terdahulu.
“Anggaplah apa yang kita laksanakan pada hari ini sebagai amanah besar yang perlu kita pikul bersama dalam perjuangan memperoleh kemerdekaan,” katanya lagi.
Terdahulu, antara pengisian program tersebut adalah Senam Seni Merdeka, Aktiviti Berjalan 6,600 Langkah Merdeka, pameran agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang. – WILAYAHKU