Berita

Masjid Jamek Sultan Abdul Samad diangkat sebagai Warisan Negara

JEMAAH mematuhi SOP dan penjarakan fizikal ketika menunaikan solat jumaat di masjid Jamek Sultan Abdul Samad.
- Diterbit 20 Mac 2025 10:30 AM MYT

MASJID Jamek Sultan Abdul Samad, salah satu mercu tanda bersejarah ibu kota, terus diperkukuh statusnya sebagai Warisan Kebangsaan dengan pelbagai usaha pemuliharaan dan perlindungan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara (JWN).

MOTAC memaklumkan bahawa masjid yang siap dibina pada tahun 1909 itu telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada 28 Disember 2018 di bawah Akta Warisan Kebangsaan (Akta 645).

“Langkah ini bertujuan untuk memastikan bangunan bersejarah itu terus dipelihara di sebalik pembangunan pesat Kuala Lumpur.

“Sebarang cadangan pembangunan dalam radius 200 meter dari tapak Masjid Jamek Sultan Abdul Samad tertakluk kepada kelulusan Pesuruhjaya Warisan bagi menjamin kelestarian nilai sejarah dan warisan negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

MOTAC berkata JWN turut mengambil langkah proaktif dengan menyusun Pelan Pengurusan Pemuliharaan (Conservation Management Plan – CMP) dan Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan bagi memastikan pemuliharaan masjid ini dilakukan mengikut standard yang ketat tanpa menjejaskan keasliannya.

“Kerajaan juga menegaskan bahawa pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pemilik bangunan warisan untuk memastikan warisan negara ini terus terpelihara, sekali gus menjadi tatapan generasi akan datang serta tarikan kepada pelawat tempatan dan antarabangsa,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas