BARU-BARU ini ada yang mendakwa kononnya sesebuah konsert hanya sesuai dijayakan oleh artis muda dan tidak relevan buat penyanyi veteran (otai).
Hakikatnya artis otai telah membuktikan kejayaan mereka bertahan selama berpuluh-puluh tahun dalam industri selain dalam masa sama lagu-lagu mereka malar segar dan menjadi siulan sehingga ke hari ini.
Bagi mengupas isu tersebut, wartawan DEEL ANJER berkesempatan menemu bual penyanyi legenda Ramlah Ram, Amir UK’s serta penganjur yang juga penyanyi, Sufi Rashid.
Disiplin jaga bakat kurniaan
LEBIH tiga dekad membina kerjaya dalam bidang seni suara, penyanyi terkenal Ramlah Ram bersyukur masih mampu bertahan dan diterima peminat sehingga ke hari ini.
Akui Ramlah, dia kurang bersetuju jika ada pihak yang mendakwa penyanyi otai tidak relevan untuk menjayakan konsert kerana ramai yang mengikuti perkembangan muzik semasa dan berdisiplin dalam menjaga kualiti bakat kurniaan Tuhan.
“Bagi saya, kalau nak kata tak relevan, rasanya tidak sesuai sebab ramai artis otai yang menjayakan konsert seperti Datuk M. Nasir, Ella, Datuk Jamal Abdillah, Wings, Search dan ramai lagi.
“Saya sendiri pun akan muncul dengan Konsert Mega Hitz Vol 1 tu pada 25 Januari depan bersama Datuk Hattan, Norshila Amin, Zur Eda, Nash dan sebagainya. Mereka semua otai-otai,” katanya.
Dalam masa yang sama, selain sibuk dengan undangan nyanyian, Ramlah sibuk dengan rakaman lagu di studio.
“Saya akan muncul dengan tiga lagu baharu. Insya-Allah, saya akan lancar satu persatu. Buat masa ini tajuk-tajuk lagu itu adalah Mendua, I Love You dan Berbeza.
“Selain itu, saya juga akan merakamkan semula lagu-lagu saya Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Selamat Jalan Romeo dan Diam-Diam Jatuh Cinta yang biasa dinyanyikan dalam persembahan. Kiranya nak beri nafas baharu dan kelainan,” ujarnya yang kini mengusahakan produk kosmetik RVR.
Penganjur perlu main peranan
PENGANJUR konsert, Sufi Rashid menerusi syarikatnya SAH Entertainment berpengalaman menganjurkan banyak konsert melibatkan artis popular dalam dan luar negara antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Rossa, Cakra Khan dan ramai lagi.
Menurut Sufi, tidak adil jika ada pihak mendakwa artis otai kurang relevan untuk menjayakan sesebuah konsert.
“Kalau ikutkan, banyak lagu artis-artis otai ini yang orang ingat sampai ke hari ini. Cuma tinggal lagi bagaimana penganjur atau promoter konsert merancang atau cari jalan yang sesuai untuk jayakannya.
“Tidak semestinya artis-artis veteran tak relevan untuk menjayakan konsert. Saya yakin mereka ada peminat tersendiri. Apabila sebut konsert, ia melibatkan banyak perkara dan bukannya bersandarkan kepada artis semata-mata.
“Satu tanggapan yang silap apabila penganjur memilih artis otai dan menyerahkan segalanya termasuk hal penjualan tiket kepada artis itu semata-mata,” katanya.
Sufi berkata penganjur perlu mempunyai perancangan yang teliti sebelum membuat pengumuman konsert.
“Mereka perlu merancang bagaimana mahu tarik perhatian peminat. Selain dapat berhibur dengan persembahan artis kesayangan mereka, penganjur perlu fikir apa kelebihan atau keistimewaan yang pembeli tiket akan dapat jika datang ke konsert itu.
“Misalnya sebelum ini saya anjurkan konsert NewBoyz. NewBoyz adalah antara band yang sangat lama menyepi, tapi tim saya berjaya jual tiket sehingga sold out yang melibatkan 5,000 penonton di Singapura.
“Jadi sebenarnya kita kena ada banyak perancangan untuk menjayakannya, bukan jual tiket semata-mata. Misalnya enam bulan sebelum konsert, artis memainkan peranan untuk muncul dengan pelbagai konten atau publisiti tentang mereka.
“Tak kisahlah sama ada muncul dengan lagu baharu atau cerita peribadi yang boleh menarik perhatian orang. Jadi ini secara tak langsung, mendekatkan mereka dengan peminat,” ujarnya.
Menurut Sufi lagi, pembeli tiket juga adalah dari kalangan mereka yang melihat konsep keseluruhan konsert yang bakal dijayakan.
“Kadang-kadang orang beli tiket bukan sebab artis itu semata-mata. Mungkin konsep konsert yang ditampilkan, gubahan lagu oleh pasukan orkestra hebat dan sebagainya.
“Jadi kesimpulannya, jangan cakap artis otai ini tidak relevan untuk jayakan konsert sebab banyak cara untuk melaksanakannya,” tambahnya lagi.
‘Artis dulu-dulu lain kualitinya’ – Amir UK’s
BAGI vokalis band legenda UK’s, Amir, artis otai atau veteran mempunyai kualitinya yang tersendiri dan patut diberi peluang menjayakan konsert kerana kualiti nyanyian yang terbukti hebat membuatkan mereka relevan sehingga masa kini.
“Artis otai ini lain kualitinya. Kita rekod lagu zaman analog. Bukan mudah. Berbeza dengan sekarang. Inilah masanya orang nak tengok balik kehebatan artis-artis zaman analog membuat persembahan live. Jadi, mereka sesuai untuk jayakan konsert.
“Pada saya memang relevan untuk artis-artis otai menjayakan konsert. Beri peluang. Ini kerana mereka pernah menguasai pasaran. Bukan sedikit,” katanya.
Kehebatan artis-artis otai bukanlah calang-calang dan belum tentu boleh dicapai oleh penyanyi sekarang.
“Saya kagum dengan Datuk Awie. Dalam usia sekarang dia masih boleh capai not yang tinggi seperti lagu asal yang dirakam dalam studio. Kualiti suara itu yang hebat.
“Iyalah, kita ni semakin berumur, suara semakin berubah. Untuk kekalkan kualiti suara, ada banyak cara. Bagi saya, perkara paling penting adalah tidur yang cukup,” katanya.
Amir juga berpendapat, artis-artis veteran perlu kembalikan populariti mereka dengan bekerjasama atau featuring bersama artis muda.
“Ini secara tak langsung mempromosi kembali artis veteran untuk lebih dikenali. Apabila ada kerjasama sebegini, secara tak langsung membuka mata penganjur,” tambahnya. – WILAYAHKU