KESUSASTERAAN memegang tempat penting dalam landskap budaya Malaysia yang mencerminkan kepelbagaian, warisan dan ekspresi kreatif negara.
Evolusi kesusasteraan di Malaysia merangkumi pelbagai genre, bahasa dan tema yang mencerminkan transformasi sejarah, sosial dan budaya negara.
Akar kesusasteraan Malaysia boleh dikesan kembali kepada tradisi lisan di mana mitos, legenda, cerita rakyat dan puisi epik diturunkan secara turun-temurun.
Penceritaan lisan memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya, menyebarkan pengetahuan dan memupuk ikatan komuniti.
Naratif ini meletakkan asas kepada ekspresi sastera di Malaysia dengan membentuk tema, gaya dan motif yang terdapat dalam karya sastera kemudiannya.
Pendekatan berbilang budaya untuk bercerita ini memperkayakan kesusasteraan Malaysia dan menggalakkan pemahaman antara budaya.
Landskap linguistik kesusasteraan menggunakan pelbagai bahasa untuk menyatakan visi kreatif mereka untuk membolehkan persekitaran sastera yang lebih inklusif dan berbilang bahasa.
Dengan meraikan kepelbagaian, mempromosikan kekayaan linguistik dan meneroka tema yang pelbagai, kesusasteraan Malaysia menyumbang kepada kerancakan budaya dan wacana intelektual negara serta memperkayakan landskap sastera untuk generasi kini dan akan datang.
Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr A Samad Said berkata perkembangan zaman yang semakin maju telah memberi impak besar dalam bidang kesusasteraan Melayu.
Menurut beliau, kesan yang dapat dilihat dengan ketara ialah kurangnya permintaan dan penggunaan sastera dalam kalangan masyarakat masa kini.
“Perubahan zaman ini menjadi cabaran utama dalam perkembangan sastera negara selain beberapa cabaran lain.
“Ada juga mempersoalkan serta melihat kesusasteraan sebagai sesuatu yang hanya bersifat abstrak, tidak sepeti bidang-bidang lain antaranya ekonomi dan sains,” ujarnya kepada Wilayahku.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Apresiasi A. Samad Said: Pak Samad Daripada Pandangan Generasi Muda.
Tambahnya, kurangnya minat membaca karya sastera dalam kalangan masyarakat masa kini merupakan antara cabaran dalam perkembangan dunia kesusasteraan.
“Banyak perkara yang menjadi faktor kekurangan membaca seperti bahasa yang digunakan mungkin sukar untuk difahami.
“Penggunaan elemen bahasa yang sangat kaya juga membuatkan pembaca kurang arif atau tidak memahami isi kandungan karya dan sekali gus akan berasa bosan dengannya.
“Karya sastera memerlukan penekunan dalam pembacaan dan mesej yang ingin disampaikan juga mempunyai maksud-maksud yang tersirat di mana jelas sekali berbeza dengan bahan-bahan bacaan lain yang lebih mudah untuk diolah atau difahami,” ujarnya.
Beliau berpandangan sikap masyarakat terutamanya pelajar dan penuntut universiti yang tidak berminat dan tiada kecenderungan mendalami sastera, bahasa dan budaya antara faktor merudumnya bidang sastera di negara ini.
“Sasterawan negara sering membicarakan tentang soal kemasyarakatan serta soal perjuangan yang datangnya daripada sisi hidup seseorang penulis itu sendiri.
“Generasi masa kini tidak lagi cenderung untuk membaca karya-karya sastera yang mampu mendalami jiwa serta minda seseorang dan ilmu-ilmu yang terdapat dalam sesebuah karya itu sendiri,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau memberitahu kerajaan mempunyai pelbagai plan serta langkah demi membangunkan serta terus memberi kerelevanan sastera buat generasi masa kini.
“Dengan adanya pesta buku, hari sastera dan sebagainya sedikit sebanyak memupuk semangat ingin membaca kepada generasi kini yang mudah dibuai dengan gajet-gajet.
“Diharapkan sastera negara akan terus berkembang di masa hadapan selain pelbagai cabaran yang dihadapi penulis-penulis sekarang yang mahu memberikan impak sastera kepada masyarakat,” katanya.
Selain itu pengkarya sastera, Fazleena Hishamuddin berkata antara cabaran penulis milenium adalah perlu mewujudkan karya-karya seperti terdahulu yang mampu memberi perasaan sehingga mengalirkan air mata, menceritakan tragedi penuh dengan kedukaan serta keperitan yang dihadapi tetapi ditulis dengan penuh keindahan. – WILAYAHKU