Berita

‘Masalahnya ini dengar dengan sentimen kebencian’, PM tegur pembangkang isu tarif elektrik

Foto: RTM
- Diterbit 4 Februari 2025 11:16 AM MYT

CUBAAN seorang Ahli Parlimen pembangkang untuk menampakkan kononnya kerajaan ‘flip-flop’ mengenai kenaikan tarif elektrik memakan diri apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ia hanya melibatkan sektor industri.

Perdana Menteri turut menegur wakil rakyat berkenaan supaya mendengar ucapannya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) semalam dengan betul.

“Soal tenaga (elektrik), semalam, dengar ucapan itu, masalahnya ini dengar dengan sentimen kebencian. Saya sebut, may i response to the call by (Presiden ACCCIM) Datuk Ng (Ng Yih Pyng), saya responding of his request, apa dia requestnya?

“Kenaikan tarif bagi industri, faham tak? Bukan kepada negara, bukan kepada rakyat. Dan saya kata itu pun tidak 14 peratus seperti yang diumumkan maknanya respons saya kepada industri kerana kenaikan tarif kepada industri, kepada golongan kaya, mahakaya, yang kita (pembangkang) nak pertahankan ni apa dia?

“Kalau tak cukai kepada orang kaya nak tambah peruntukan untuk sekolah, untuk hospital dari mana wangnya?” Soal Perdana Menteri ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (PN-Machang) kononnya kerajaan ‘flip-flop’ dalam pengumuman kenaikan tarif elektrik.

Anwar berkata, pihaknya meminta semua untuk menerima kenyataan kenaikan tarif yang munasabah bagi industri dan golongan kaya.

“Dan saya sebut depan peniaga-peniaga semalam, kita tidak akan tolak ansur, kita terpaksa naikkan tetapi tidak melibatkan 85 peratus rakyat.

“Dengar betul-betul, ini dengar dengan sentimen marah, jadi ini masalahnya. Ini penyakit marah bukan penyakit fakta ekonomi,” katanya.

Perdana Menteri menambah, apa yang disebut oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai kenaikan tarif elektrik sebelum ini adalah dilakukan secarah umum dan ia telah ditegur oleh kerajaan.

“Saya katakan patut cerakin apa dia untuk kategori yang dinaikkan? Saya tegaskan semula kenaikan kadar elektrik bagi industri akan berlaku ikut kaedah Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) mulai Julai (ini).

“Tetapi 85 peratus rakyat tidak akan terkesan dengan kenaikan ini,” tegas beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas