Berita

Masalah kemiskinan boleh diselesaikan – PM Anwar

- Diterbit 30 September 2024 1:31 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masalah kemiskinan tegar di negara ini boleh diselesaikan dengan memerdekakan golongan rentan.

Beliau berkata dengan kewujudan pelbagai inisiatif oleh kerajaan terdahulu namun membimbangkan apabila wujud ‘sindrom kebergantungan’ dalam kalangan golongan terbabit.

“Kita harus jadikan ini satu pengajaran kerana tidak cukup resolusi, dasar dan hebahan tapi mesti program pelaksanaan.

“Golongan rentan ini kekal bergantung kepada penguasa, jadi penguasa dapat faedah politik kerana orang ini akan survive bergantung kepada kita, ini sindrom kebergantungan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Peluncuran Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sementara itu, Anwar menggesa amalan anak golongan paling kaya diberi kemasukan subsidi tinggi ke Sekolah Menengah Sains dihentikan.

Beliau berkata amalan yang memberi manfaat kepada majoriti anak golongan elit meletakkan negara dalam keadaan tidak munasabah.

“Cuma masalah yang harus kita fikir sekarang ialah bagaimana buat penilaian, peratusan anak miskin yang ke Sekolah Menengah Sains, Maktab Rendah Sains dan Kolej Melayu.

“Ini termasuk orang kanan penjawat awam, pimpinan politik, pengusaha-pengusaha terkenal, itu semua yang dihantar sekolah terbaik yang dibiayai kerajaan dengan kadar tinggi sebenarnya meletakkan kita dalam keadaan paling tidak munasabah dan adil,” katanya.

Anwar menegaskan negara harus adil terhadap golongan yang memerlukan termasuk golongan rentan.

“Bagaimana harus kita lakukan. Dengan memastikan dana diagihkan, bagaimana boleh dapat diagihkan dana.

“Bentuk ketirisan termasuk anak golongan paling kaya ke Sekolah Menengah Sains dibantu subsidi tinggi ini harus dihentikan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas