Selera

Martabat makanan tradisi tapai, elak ditelan zaman

- Diterbit 28 Oktober 2023 3:46 AM MYT

Oleh KHAIRUL IDIN

TAPAI merupakan sejenis makanan tradisional yang dihasilkan daripada proses penapaian atau peragian di mana bahan utama dalam proses membuat tapai adalah ragi.

Zaman dahulu, juadah ini tidak asing lagi lebih-lebih lagi ketika acara keramaian seperti kenduri kahwin dan sebagainya. Namun seiring waktu, tapai agak sukar ditemui.

Malah, tidak dinafikan golongan muda hari ini ada yang tidak mengenali tapai. Tidak mustahil suatu hari nanti makanan tradisi turun-temurun yang enak ini akan hilang ditelan zaman.

Menyedari akan perkara itu, Norhani Wahab, 68, mengambil langkah mengusahakan perniagaan tapai secara kecil-kecilan di kediamannya yang terletak di Labuan agar makanan tradisi turun temurun itu sentiasa relevan biarpun dalam arus moden masa kini.

“Ketika zaman muda, saya belajar membuat tapai daripada arwah mak. Ketika itu makanan ini hanya untuk keluarga sahaja. Kalau ada kenduri-kendara, tapai merupakan makanan wajib perlu ada di kampung.

“Tetapi melihat pada zaman sekarang, agak sukar untuk menjumpai tapai apatah lagi untuk mendapatkannya. Jika pergi ke pasar sekalipun, tetap tidak jumpa orang yang menjualnya.

“Disebabkan itu juga, terdetik di hati saya untuk membuat tapai sekali gus mengembalikan semula makanan tradisi yang popular di negara kita suatu ketika dahulu.

“Kalau boleh, biarlah generasi muda hari ini tahu kewujudannya dan jika mereka datang untuk mempelajari cara membuat tapai juga saya turut mengalu-alukan,” ujarnya ketika ditemui WilayahKu di kediamannya di Kampung Bukit Kalam, baru-baru ini.

Berkongsi idea jualan tersebut, Norhani berkata dia tidak menyangka tapai yang dihasilkan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan oleh masyarakat setempat.

“Alhamdulillah sejak berniaga makanan ini sambutan yang diterima tidak putus-putus dan adakalanya saya turut menerima tempahan yang banyak mencecah ratusan tapai dalam satu-satu masa.

“Niat utama berniaga ini bukan hanya mencari duit semata-mata tetapi yang paling utama ingin mempopularkan juadah enak zaman-berzaman ini sekali gus memartabatkannya,” ujarnya yang menjual tapai berbalut daun pisang dengan harga RM0.50 sebiji.

Berkongsi lanjut, Norhani menjelaskan tapai yang dihasilkannya adalah sama seperti tapai lain namun yang membezakannya adalah teknik menggaul adunan pulut dan ragi.

“Keistimewaan rasa tapai yang dihasilkan ditentukan menerusi teknik menggaul sementara bahan yang digunakan semua sama seperti yang diketahui ramai iaitu beras, pulut dan ramuan larut (ragi).

“Kemudian ia dibungkus menggunakan daun pisang, simpur, nipah, puak atau daun irik sebelum diperam selama sehari semalam atau 24 jam.

“Sekiranya terlebih sukatan bahan seperti ragi dan gula akan menjejaskan tahap masak tapai tersebut. Tapai yang sudah masak selepas proses peram, mampu bertahan selama satu hingga dua bulan sekiranya diletak di dalam peti sejuk,” ujarnya yang hanya menerima tempahan selewat-lewatnya tiga hari sebelum keraian. – WILAYAHKU

INFO:
Lokasi: Simpang Masjid, Kampung Bukit Kalam, Wilayah Persekutuan Labuan
Hubungi: 019-832 1364

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas