Berita

Marsha tolak tajaan jalani rawatan IVF, serah rezeki kepada Allah

- Diterbit 17 April 2025 11:45 AM MYT

PENYANYI Marsha Milan mengakui menerima beberapa tawaran menjalani kaedah rawatan kesuburuan In-vitro (IVF) bagi mendapatkan cahaya mata.

Namun penyanyi lagu Hening rindu itu menolak secara baik tawaran berkenaan kerana ingin mempersiapkan mental dan fizikal sebelum menjalani rawatan itu.

Selain itu ujar Marsha, 40, dia juga perlu memikirkan keselesaan suaminya yang tidak biasa dengan publsiti.

“Saya ada menerima beberapa tawaran daripada hospital yang bersedia menaja kami menjalani rawatan IVF.

“Tapi saya menolak secara baik kerana masih belum bersedia buat masa ini.

“Saya juga perlu buat pertimbangan bagi pihak suami kerana perkara ini sangat peribadi. Saya sudah biasa terdedah kepada media, tetapi suami tidak. Jadi itu juga perlu diambil kira,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Menurut Marsha, banyak aspek yang perlu dipertimbangkan sekiranya dia memilih menjalani rawatan IVF terutama jadual kerja.

“Sebelum ini memang pernah terfikir untuk jalani rawatan itu tetapi jadual pula bertindih.

“Lagipun bila mendengar macam-macam yang perlu dilalui sewaktu rawatan berkenaan, terutamanya wanita yang banyak kena tanggung , saya buat keputusan untuk tangguhkan dulu.

“Sejujurnya saya masih mengharapkan boleh mengandung secara semulajadi. Maka saya serahkan kepada Allah untuk menentukan rezeki kami,” katanya.

Marsha mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada 2015.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas