TIGA produk inovasi hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi membantu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman pisang dan cili tempatan akan dikomersialkan kepada para petani dalam masa enam bulan akan datang.
Tiga produk tersebut ialah ‘Pakej Teknologi Untuk Kawalan Penyakit Darah Pisang (Teknologi Kerintangan Sistemik Teraruh, ISR)’, ‘TrichoSHIELD’, dan ‘Buku Manual Teknologi Pengeluaran Cili Secara Organik’ yang dilancarkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, di sini hari ini.
Kiandee berkata industri pisang negara terancam dengan kehadiran sejenis penyakit pada 2007 yang dinamakan penyakit darah pisang atau penyakit layu bakteria daripada bakteria perosak Ralstonia syzygii subsp. Celebesensis, yang mana penyakit itu digazetkan sebagai penyakit berbahaya mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.
“Ini telah menyebabkan industri pisang negara lumpuh dengan kehilangan hasil hingga 65 peratus. Secara tidak langsung, ini telah meningkatkan nilai import daripada RM0.3 juta pada 2007 kepada RM180 juta pada 2018,” katanya kepada media selepas pelancaran inovasi itu.
Beliau berkata teknologi ISR berjaya meningkatkan kerintangan pokok terhadap makhluk perosak dan uji cuba di ladang menunjukkan inovasi itu berjaya mengawal penyakit hingga 92 peratus.
Menurut Kiandee, TrichoSHIELD pula merupakan teknologi biofungisid hasil kajian MARDI yang berpotensi untuk kawalan penyakit antraknos pada tanaman cili.
“TrichoSHIELD adalah biofungisid berasaskan Trichoderma strain tempatan khusus untuk kawalan penyakit antraknos pada tanaman cili organik dan konvensional yang diformulasi dalam bentuk serbuk talkum.
“Teknologi ini diaplikasi secara semburan foliar yang dapat mengurangkan jangkitan penyakit antraknos di ladang hingga 88 peratus dan membantu meningkatkan hasil cili hingga 54 peratus,” katanya.
Beliau berkata teknologi yang dihasilkan MARDI itu bukan sahaja mesra alam, tetapi turut meningkatkan keselamatan dan kualiti produk pertanian serta agromakanan untuk kesejahteraan rakyat.
Mengenai Buku Manual Teknologi Pengeluaran Cili Secara Organik, Kiandee berkata buku itu akan menjadi rujukan utama dalam mengeluarkan cili secara organik, meliputi kaedah-kaedah daripada pengurusan pengeluaran anak benih hingga ke pengendalian lepas tuai. – BERNAMA