Berita

Marc Syahmie buang rasa malu mahu lebih ramai sedar mengenai risiko kanser testis

- Diterbit 16 Disember 2024 12:08 PM MYT

PELAKON baharu, Marc Syahmie tidak menyangka sakit tulang belakang yang dialami hampir setahun dan bengkak di sebelah testis merupakan simptom kanser testis.

Syahmie, berkata dunianya gelap apabila disahkan menghidap kanser testis tahap dua pada usia 25 tahun.

“Saya terduduk apabila disahkan kanser.

“Kenapa saya? Sedangkan saya masih muda dan tidak ada sejarah sakit kanser pun dalam kalangan keluarga.

“Keluarga juga terkejut, tetapi apabila saya fikir sakit adalah penghapus dosa saya mula berlapang dada dan berdamai dengan takdir,”katanya.

Syahmie atau nama sebenarnya, Ahmad Syahmie Mahayudin bagaimanapun bersyukur kansernya dikesan awal dan belum merebak ke bahagian lain.

Sebulan selepas disahkan kanser, dia terus menjalani pembedahan membuang sel kanser di testis kirinya serta rawatan kimoterapi.

“Alhamdulillah, saya hanya perlu melakukan kimoterapi sekali sahaja menggunakan dos paling tinggi.

“Walaupun sekali memang nampak kesannya pada badan, saya rasa loya dan keletihan.

“Selepas seminggu rawatan kimoterapi saya sudah boleh jalani kehidupan seperti biasa.

“Doktor juga memberitahu, saya boleh sihat sepenuhnya kerana usia masih muda,” kata Syahmie.

Pemenang program pencarian bakat Fit For Action di TV3 pada 2022 itu kini terpanggil untuk berkongsi perjalanan kansernya demi memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Jujur mulanya saya rasa malu menghidap kanser testis.

“Tapi saya buang rasa malu supaya lebih ramai lelaki tahu tentang kanser testis.

“Jika ada rasa pelik pada mana-mana bahagian anggota badan, tolong lakukan pemeriksaan di hospital.

“Jangan jadi seperti saya yang tidak dapat menerima kenyataan selama setahun,”kata pelakon Geng Daddy Daddy. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas