Berita

Mangsa kebakaran paip gas diminta segera buat laporan Polis- Mohamad Sabu

- Diterbit 3 April 2025 1:15 PM MYT

PENDUDUK yang terjejas akibat kebakaran paip gas di Taman Putra Harmoni di sini diminta segera membuat laporan polis bagi memudahkan urusan tuntutan kerugian dan siasatan lanjut.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kaunter khas telah disediakan pihak berkuasa untuk menerima laporan berkaitan kehilangan dan kerosakan harta benda.

“Saya menyeru semua mangsa terlibat untuk segera membuat laporan polis. Ini penting bagi memastikan sebarang tuntutan atau bantuan dapat disalurkan dengan lancar.

“Pihak polis telah menyediakan kaunter khas bagi memudahkan urusan ini, termasuk laporan berkaitan kehilangan dan kerosakan,” katanya selepas meninjau situasi di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga turut memberi jaminan bahawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memantau keadaan dan memastikan bantuan makanan mencukupi bagi penduduk terjejas.

“Setakat ini, bekalan makanan berada dalam keadaan terkawal dan tidak menjadi isu utama. Namun, kami melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta agensi lain akan terus memastikan keperluan makanan mencukupi sepanjang tempoh pemulihan,” katanya.

Terdahulu, Mohamad meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu dengan penduduk terjejas untuk mendengar sendiri keluhan mereka.

Beliau kemudiannya turut meluangkan masa kira-kira 30 minit ke PPS Masjid Putra Heights untuk melawat dan bertanya khabar mangsa yang terjejas.

Sehingga kini, sebanyak 66 laporan polis telah diterima daripada mangsa yang terjejas dalam kejadian berkenaan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas