Berita

Mangsa dibakar hidup-hidup: Malapetaka di Gaza capai tahap tidak masuk akal

- Diterbit 17 Oktober 2024 7:01 PM MYT

MALAPETAKA kemanusiaan di Gaza telah mencapai tahap yang tidak masuk akal.

Demikian ditegaskan Wisma Putra merujuk kepada imej mengerikan mangsa serangan rejim zionis dibakar dalam keadaan masih hidup.

Ia susulan serangan biadab dan tidak berperikemanusiaan oleh tentera Israel ke atas Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir el-Balah dan pengepungan haram di kem pelarian Jabalia.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tidak berperikemanusiaan itu.

“Imej mengerikan tersebut hanyalah sebahagian kecil daripada jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan zoinis di Gaza.

“Imej sedemikian menunjukkan kempen keganasan rejm zionis yang jelas bertujuan menghapuskan rakyat Palestin dan memusnahkan Gaza,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Wisma Putra, biarpun begitu rejim zionis terus-menerus membuat serangan tanpa henti, melakukan pembunuhan beramai-ramai dan pada masa yang sama menjejaskan usaha antarabangsa untuk mencapai penyelesaian aman.

Justeru katanya, Malaysia mengulangi desakan agar pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan segera.

“Kegagalan untuk bertindak menghentikan kekejaman ini merupakan persekongkolan dan mengancam sebarang harapan bagi mencapai keamanan.

“Malaysia menuntut agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menunaikan tanggungjawab yang diamanatkan dengan memastikan rejim zionis dipertanggungjawabkan atas tindakannya serta menegakkan keutuhan undang-undang antarabangsa bagi menghentikan kekebalan Israel daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Wisma Putra menambah, Malaysia akan terus menyampaikan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat sepenuhnya berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Katanya, sokongan penuh Malaysia terhadap Palestin juga melibatkan usaha mereka untuk menjadi anggota penuh PBB.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam usaha mereka mencapai kebebasan, maruah dan keadilan, dan akan terus memperjuang hak mereka di pentas global,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas