“SAMBUTAN Krismas kali ini agak sedih sebab tak dapat pergi ke gereja untuk sembahyang, selain semua persiapan musnah akibat banjir dan tidak dapat menyediakan makanan raya kerana tiada duit,” demikian luah Rita Asogan, mangsa banjir di Jalan Delima, Taman Sri Nanding di sini, hari ini.
Suri rumah berusia 34 tahun itu, berkata beberapa hari sebelum kejadian banjir, dia dan suaminya sudah membuat persiapan bagi meraikan perayaan tersebut termasuk membeli baju baharu dan kuih-muih.
Mengimbas kejadian Sabtu lepas, Rita yang belum dikurniakan cahaya mata berkata memandangkan hujan seharian, dia mula menyimpan beberapa perkakas rumah di tempat lebih selamat tetapi tidak menyangka air akan naik tinggi dan mendadak.
“Sebelum ini kalau hujan selama empat hari, baru akan banjir tapi itu pun tidak teruk sangat. Berbeza kali ini, apabila air naik dengan cepat sekitar pukul 8 malam dan dua jam selepas itu air dah hampir sampai ke paras bumbung rumah kami,” katanya yang mendiami rumah teres setingkat.
Sementara itu suami Rita, N. Sivarajan, 34, berkata menyedari keadaan semakin cemas, mereka bersama beberapa jirannya, keluar menyelamatkan diri ke kawasan pembinaan di belakang taman perumahan tersebut.
“Kami naik ke tingkat dua rumah yang sedang dibina di situ. Ketika itu kira-kira pukul 10 malam dan ada bayi serta warga emas berlindung bersama kami. Semuanya kesejukan dan kelaparan, bantuan pula agak lambat kerana mereka tidak tahu kedudukan kami yang sedikit jauh di belakang.
“Jadi, kami yang masih mempunyai tenaga keluar meredah banjir ke stesen Petronas di jalan besar untuk meminta bantuan dan pada kira-kira pukul 1 pagi pasukan penyelamat sampai dan membawa kami keluar. Apa yang penting kami saling bantu-membantu macam satu keluarga,” katanya.
Sivarajan, yang bekerja sambilan selepas hilang pekerjaan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) COVID-19, berkata dia memuji komuniti di situ yang terus menghulurkan pertolongan tanpa mengira agama dan bangsa.
Dalam pada itu, atas semangat Krismas, Rita berkata mereka hari ini mendapat pertolongan daripada komuniti gereja Petaling Jaya yang datang membantu membersihkan rumahnya.
Kebiasaannya pada perayaan tersebut, Rita dan suaminya akan ke gereja untuk bersembahyang dan selepas itu membuat sedikit jamuan dengan menjemput jiran-jiran.
“Tahun lepas kami sambut Krismas secara sederhana mengikut SOP (prosedur operasi standard) COVID-19. Tahun ini pula banjir, jadi hari ini tiada sebarang perancangan. Semua sibuk, semua sedih,” katanya yang merupakan antara penganut Kristian minoriti di kawasan perumahan tersebut. — BERNAMA