MALAYSIA dan Uzbekistan mengiktiraf prospek meyakinkan bagi membangunkan Zon Perindustrian Uzbekistan-Malaysia di negara Asia Tengah itu.
Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama kedua-dua kerajaan susulan rundingan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev di Putrajaya hari ini.
Rundingan itu diadakan bersempena lawatan rasmi dua hari Mirziyoyev ke negara ini bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.
Menurut kenyataan bersama yang dikongsi Wisma Putra itu, Malaysia dan Uzbekistan komited dalam memperkenalkan amalan terbaik dan kepakaran bagi pembangunan dan operasi taman perindustrian berkenaan.
“Ini juga akan memupuk kerjasama dalam menarik syarikat pengurusan, pengurus taman dan pelabur lain mengambil bahagian dalam perancangan dan pembangunan zon perindustrian di Uzbekistan itu nanti,” katanya.
Dalam pertemuan itu juga Uzbekistan mengulangi hasrat menjalin kerjasama dengan Petronas, khususnya dalam bidang sektor petrokimia dan penyelesaian tenaga hijau bersih.
Kenyataan bersama itu menambah, Petronas berbesar hati menyokong usaha tersebut dengan menjalin kerjasama dari segi sokongan teknikal, pertukaran maklumat dan perundingan bagi bidang kepentingan berkaitan.
Malah jelasnya, kerjasama bagi meneroka peluang untuk melaksanakan bersama projek pelaburan yang saling menguntungkan.
Selain itu, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama ekonomi dalam sektor utama seperti tenaga boleh baharu, industri halal, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), pembangunan bandar pintar dan pembangunan pemula niaga.
“Kedua-dua pemimpin juga berminat untuk meneroka perkongsian dalam industri minyak sawit,” katanya.
Mengiktiraf kepentingan sektor pelancongan, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama melalui memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dan meneroka peluang dalam pelancongan halal dan Islam.
Jelas kenyataan bersama itu, ini termasuk program Umrah+ bagi mempromosikan Malaysia dan Uzbekistan sebagai destinasi pelancongan sebelum atau selepas mengerjakan umrah untuk pelawat dari kedua-dua negara.
“Presiden Mirziyoyev turut mengukuhkan sokongan Uzbekistan terhadap Kepengerusian ASEAN Malaysia termasuk mengeratkan kerjasama antara Uzbekistan dan ASEAN,” katanya. – WILAYAHKU