MALAYSIA dan Turkmenistan akan mewujudkan suruhanjaya bersama bagi memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor khususnya industri minyak dan gas.
Perkara itu ditegaskan dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima lawatan rasmi Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow ke Malaysia hari ini.
Menurut kenyataan bersama yang dikongsi Wisma Putra itu, kedua-dua pemimpin mengiktiraf visi bersama dalam sektor tenaga dengan mengambil kira pengalaman positif Petronas dalam bidang berkenaan.
“Kedua-dua pemimpin komited untuk membina perkongsian jangka panjang yang kukuh dengan tumpuan yang kuat kepada industri minyak dan gas, dengan matlamat untuk pertumbuhan yang berterusan dan kemakmuran bersama.
“Ini mengukuhkan komitmen kedua-dua negara untuk meneroka peluang baru dalam semangat faedah bersama,” jelas kenyataan bersama itu.
Dalam merealisasikan potensi penuh hubungan dua hala, kedua-dua pemimpin mengiktiraf keperluan untuk mengekalkan hubungan tetap, perundingan dan koordinasi rapat di pelbagai peringkat, serta mempromosikan pertukaran idea dan pendapat secara berkala.
Ia merangkumi isu-isu antarabangsa di persidangan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan rangka kerja organisasi antarabangsa yang penting lain.
Menurut kenyataan tersebut, ini merupakan lawatan pertama Serdar ke Malaysia bagi mengukuhkan hubungan yang erat antara Malaysia dan Turkmenistan.
Kedua-dua negara telah menikmati manfaat bersama dalam pelbagai bidang kepentingan sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 17 Mei 1992.
Hubungan ini telah diperkukuhkan dengan kerjasama dalam bidang industri minyak dan gas, satu pencapaian penting bagi kedua-dua negara.
Dalam pada itu, menurut kenyataan bersama tersebut, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa perkongsian ekonomi antara Turkmenistan dan Malaysia mempunyai potensi yang besar.
“Dalam merealisasikan potensi ekonomi, kedua-dua pemimpin menyatakan kesediaan untuk membangunkannya berdasarkan prinsip kesaksamaan dan manfaat bersama.
“Sehubungan itu, kedua-duanya menyambut baik kesediaan bersama untuk menubuhkan Majlis Perniagaan Turkmen-Malaysia,” jelas kenyataan itu.
Melihat ke hadapan, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pengangkutan, budaya, pendidikan, pelancongan dan sukan, yang akan menyumbang secara positif kepada pengukuhan hubungan antara Malaysia dan Turkmenistan. – WILAYAHKU