KERAJAAN Malaysia melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Kerajaan Republik Turkiye melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah mengadakan sesi pertukaran Surat Hasrat (Exchange of Letters -EoL) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang peralihan tenaga.
PETRA dalam satu kenyataan berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam memajukan pembangunan tenaga lestari, meningkatkan keterjaminan dan keselamatan pembekalan tenaga, serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan hijau.
“Bidang kerjasama yang digariskan dalam Surat Hasrat ini merangkumi pengoperasian pasaran elektrik, pengukuhan sistem grid, pembangunan grid pintar, peningkatan sumber tenaga boleh baharu, pemerkasaan kecekapan tenaga, ekplorasi potensi tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik, serta mekanisme pelaburan dan pembiayaan dalam sektor tenaga,” katanya.
Jelasnya kerjasama ini akan dilaksanakan melalui pelbagai platform seperti seminar, forum, perbincangan teknikal, lawatan kerja, pertukaran kepakaran dan pengetahuan teknikal serta pelaksanaan projek secara bersama dalam bidang berkaitan tenaga elektrik.
“Ia juga selaras dengan komitmen Malaysia untuk mencapai masa depan rendah karbon dan mampan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Malaysia berhasrat untuk mempercepatkan agenda peralihan tenaga dengan memanfaatkan kepakaran dari Republik Turkiye dalam bidang tersebut,” ujarnya.
Tambahnya PETRA kekal komited memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dan mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dengan Republik Turkiye dalam sektor yang penting ini.
Terdahulu Malaysia dan Turkiye telah bertukar 11 Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor bersempena lawatan rasmi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia dari 10 hingga 11 Februari lalu. – WILAYAHKU