MALAYSIA dan Turkiye menekankan keperluan mendesak untuk dunia mengiktiraf negara Palestin sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perkara itu disuarakan dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Recep Tayyip Erdogan bersempena lawatan rasmi dua hari Presiden Turkiye itu ke Malaysia.
Menerusi kenyataan bersama yang dikongsi Wisma Putra itu, kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk memupuk keamanan, keselamatan sejagat selain bantuan kemanusiaan di wilayah yang terjejas oleh konflik terutama di Gaza.
“Usaha ini penting untuk penyelesaian yang adil dan kekal kepada konflik Palestin-Israel. Perdana Menteri dan Presiden Turkiye menyeru masyarakat antarabangsa untuk mempertahankan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang berkaitan (dengan nasib Palestin), mengukuhkan sokongan untuk penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin.
“Kedua-duanya juga menekankan keperluan masyarakat antarabangsa untuk menyumbang kepada usaha pemulihan di Gaza,” jelas kenyataan bersama itu.
Kenyataan bersama itu menyebut, Anwar dan Erdogan menggesa semua pihak untuk terlibat dalam dialog dan kerjasama yang bermakna untuk mencapai keamanan dan kestabilan di rantau Asia Barat.
Selain itu, kedua-dua mereka menegaskan komitmen menyatukan semua negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menangani cabaran semasa yang dihadapi ummah terutama dalam penderitaan Palestin akibat kezaliman rejim zionis.
Jelasnya, menerusi keahlian Malaysia dan Turkiye dalam Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer-OIC (OIC-CERT), kedua-dua pemimpin mengakui potensi untuk meneroka usaha bersama dalam transformasi ekosistem digital dan disokong oleh langkah-langkah keselamatan siber.
“Kedua-dua pemimpin juga menyatakan komitmen teguh untuk memajukan perkongsian dan meningkatkan kerjasama pembangunan ekonomi di bawah Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) dan mengalu-alukan penyertaan Azerbaijan ke dalam kumpulan itu.
“Selain itu mereka menekankan kepentingan kerjasama berterusan dalam menangani kebencian terhadap Islam. Kedua-dua pemimpin menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas terhadap maklumat palsu, xenofobia, perkauman dan ucapan kebencian,” katanya.
Terdahulu dalam pertemuan empat mata kedua-dua pemimpin itu, mereka menyentuh fokus memperkukuh hubungan diplomatik yang sudah berlanjutan selama 60 tahun.
Antara bidang yang disentuh adalah pelaburan dan perdagangan, industri halal, pendidikan, kerjasama pertahanan selain tenaga.
Kedua-dua pemimpin turut mencapai persefahaman dalam perkongsian sains angkasa, teknologi dan aplikasi yang mempunyai potensi besar.
“Program Pembangunan Mikrosatelit Penginderaan Jauh Malaysia-Turkiye adalah inisiatif yang penting dari segi strategik yang bertujuan untuk memajukan kemampuan angkasa kedua-dua negara,” katanya.
Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran 11 perjanjian persefahaman (MoU) di antara dua negara melibatkan kementerian dan agensi.
MoU tersebut merangkumi beberapa bidang kritikal, antaranya perubahan tenaga; pengurusan bencana; hubungan diplomatik; penerokaan Artik dan Antartika; dan pertahanan.
Selain itu, sistem komunikasi; pengurusan bandar pintar, trafik dan keselamatan; perlindungan pengguna; perolehan aset; dan kerjasama pengurusan media. – WILAYAHKU