MALAYSIA dengan tegas menolak sebarang cadangan yang boleh membawa kepada pemindahan atau pengusiran paksa rakyat Palestin dari tanah air mereka.
Menurut Wisma Putra, tindakan tidak berperikemanusiaan seperti itu merupakan pembersihan etnik yang jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jelasnya, sebarang usaha untuk mengenakan penyelesaian secara sebelah pihak dan paksa yang menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri serta mencabuli kebebasan mereka adalah tidak boleh diterima, tidak dapat dipertahankan dan hanya akan memperburuk salah satu konflik paling berpanjangan di rantau itu.
“Malaysia kekal teguh dalam solidaritinya bersama rakyat Palestin.
“Satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Asia Barat adalah melalui penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan pada Khamis.
Wisma Putra memberitahu, pendekatan itu kekal sebagai pendirian prinsip Malaysia dan sejajar dengan sokongan jangka panjang masyarakat antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara.
Masyarakat antarabangsa katanya, mesti bersatu dalam menyeru penyelesaian yang adil dan berkekalan yang dihormati serta diterima oleh rakyat Palestin.
“Sehubungan itu, Malaysia menegaskan semula seruannya, seperti yang terkandung dalam Resolusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam 2024 yang diterima pakai pada 11 November 2024, agar semua negara yang masih belum menyokong penyelesaian dua negara segera mengambil langkah untuk mengiktiraf negara Palestin dan menyokong keanggotaan penuhnya dalam PBB.
“Ini merupakan langkah penting pertama ke arah memastikan keselamatan dan keamanan jangka panjang bagi rakyat Palestin serta kestabilan rantau Asia Barat,” katanya.
Jelas Wisma Putra, Malaysia juga menegaskan sokongannya terhadap usaha diplomatik dan multilateralisme, termasuk inisiatif yang sedang digerakkan oleh Global Alliance dan The Hague Group, dalam memastikan keamanan berkekalan melalui penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. – WILAYAHKU