MALAYSIA merupakan tuan rumah bagi 27th Brunei-Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) Ministerial Meeting and Other Related Meeting pada 16 Oktober 2024 di Kota Kinabalu.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mengetuai delegasi Malaysia dan mempengerusi mesyuarat peringkat Menteri berkata antara yang dibincangkan berkaitan laporan daripada Pegawai Kanan BIMP-EAGA khususnya berkaitan Indikator Utama Ekonomi, kemajuan pelaksanaan projek di bawah BIMP-EAGA Vision 2025 dan status kerjasama dengan Development Partners.
“Mesyuarat CMGLF telah membincangkan usaha ke arah meningkatkan kerjasama peringkat Kerajaan Tempatan dan pembentangan ADB mengenai status terkini kajian semula koridor ekonomi BIMP-EAGA dan bantuan teknikal lain kepada kerjasama sub serantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau berkata Malaysia juga telah mengemukakan tawaran untuk memperkasa dan menyelesaikan isu legalisation BIMP Facilitation Centre (BIMP-FC) yang berlanjutan sejak tahun 2008.
“Ini termasuk menambah tenaga kerja dan menyediakan peruntukan operasi bagi tempoh tiga tahun sebelum perkongsian peruntukan secara bersama antara negara anggota dengan syarat pejabat operasi BIMP-FC kekal di Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia,” katanya.
Turut hadir wakil Kementerian Kewangan dan Ekonomi Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama (TYT) Hairol Nizam Abdul Hamid; Penasihat Kanan Menteri, Menteri Penyelaras Bagi Hal Ehwal Ekonomi Republik Indonesia, TYT Dr Rizal Edwin, Pengarah Wilayah-Wilayah 11, Jabatan Perdagangan Dan Industri, Filipina, TYT Romeo Castanaga; Sekretariat ASEAN (ASEC), Kanchana Wanichkorn; Bank Pembangunan Asia (ADB), Winfried Wicklein; Ketua Pusat Pemudahcara BIMP-EAGA (BIMP-FC), Dr Susan Pudin dan Pengerusi BIMP-EAGA Business Council (BEBC), Dr Sayid Irwan, M. Hum.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam mempengerusi mesyuarat 6th 1BIMP-EAGA Chief Ministers, Governors and Local Government Forum (CMGLF) melibatkan penyertaan wakil Kerajaan Negeri, Provinsi dan Kerajaan Tempatan.- WILAYAHKU