Oleh SYUQQREE DAIN
WANITA Pertama Turkiye, Emine Erdogan merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam menyokong kelestarian alam sekitar telah mengadakan lawatan rasmi ke Taman Botani Perdana Kuala Lumpur pada 11 Februari lalu diiringi oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif serta Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim.
Taman Botani Perdana, yang sangat terkenal dengan keindahan landskapnya dan pelbagai spesies tumbuhan tropika menjadi lokasi pilihan bagi lawatan ini. Semasa berada di sana, Emine telah meluangkan masa kira-kira satu jam melawat kehijauan taman yang berusia lebih seabad di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur itu sambil dibawa melihat reruai pameran yang memaparkan Pengurusan Sisa Sifar Kuala Lumpur oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Selain aspek ekologi, lawatan rasmi ini juga menunjukkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkasakan peranan wanita di arena kepimpinan. Dengan kehadiran wanita besi seperti Wan Azizah dan Zaliha, lawatan ini turut memberi peluang kepada pemimpin wanita untuk berbincang dan berkongsi inspirasi serta visi untuk dunia yang lestari dan bebas sisa. Ini memperkukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan pemimpin wanita antarabangsa.
Melalui lawatan ini, hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye dapat diperkukuhkan selain memberi peluang untuk mempromosikan pemeliharaan alam sekitar dan bandar yang lebih hijau dan bersih. Keberhasilan lawatan ini diharapkan dapat membuka jalan kepada lebih banyak peluang kolaborasi antara kedua-dua negara dalam pelbagai sektor, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara. – WILAYAHKU
Lensa: