Berita

Malaysia tiada hala tuju terajui ASEAN? Menteri bidas pengkritik

Foto: BERNAMA
- Diterbit 6 Februari 2025 12:27 PM MYT

MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan membidas cakap-cakap pengkritik yang mendakwa Malaysia tiada hala tuju dalam menerajui ASEAN selaku Pengerusi untuk tahun ini.

Malah beliau mengingatkan pengkritik terbabit yang menggunakan media luar supaya melihat kembali hala tuju dan panduan yang digariskan semasa sesi Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 18 sehingga 19 Januari lalu.

“Dalam memacu kesatuan ini (ASEAN), daya tahan dan relevansi rantau ini di peringkat global, Malaysia telah menggariskan tiga keutamaan Kepengerusiannya yang telah saya sebut semasa sesi permukiman tersebut, bercanggah dengan apa yang disebut oleh ada orang tulis baru-baru ini mengatakan ASEAN tiada panduan, tiada hala tuju.

“Kita sudah buat hala tuju dan semuanya diterima dengan baik oleh rakan-rakan negara ASEAN. Nombor satu kita punya panduan untuk kita memacu ASEAN ini ialah Malaysia akan memberikan tumpuan kepada meningkatkan usaha untuk memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman dan stabil, selamat dan makmur ketika berhadapan cabaran geopolitik antarabangsa semasa,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai objektif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam memacu kesatuan, daya tahan dan relevansi ASEAN dari aspek politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

Mohamad memberitahu, panduan berkenaan akan dilaksanakan menerusi membina keyakinan strategik, dialog dan diplomasi dengan berlandaskan prinsip kepusatan ASEAN atau ASEAN centrality.

Nombor dua katanya, panduan Malaysia semasa menjadi Pengerusi ASEAN ini adalah dari segi ekonomi dan Malaysia akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan perdagangan serta pelaburan intra-ASEAN yang masih lagi amat rendah.

“Peluang dan ruang untuk kita meningkatkan perdagangan dan pelaburan sesama negara ASEAN ini amat besar dan kita boleh memanfaatkan ini. Ini termasuk usaha kita menaik taraf perjanjian-perjanjian iaitu Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) di mana kedua-duanya direka untuk memperkukuh daya tahan ekonomi di rantau ini.

“Ketiganya, hala tuju kita adalah Malaysia akan mempromosikan sebuah komuniti yang inklusif, mampan dan berdaya saing dengan mengutamakan usaha-usaha untuk merapatkan jurang pembangungan, meningkatkan kualiti kehidupan dan menangani impak perubahan iklim supaya manfaat ekonomi dan pembangunan dapat dirasai oleh semua lapisan masyakata di rantau ini termasuk kumpulan rentan.

“Perkara ini telah kita selaraskan dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan rakyat serta aspirasi ASEAN dalam membentuk sebuah komuniti yang berpaksikan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, semasa Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun ini, ASEAN akan melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan empat pelan strategiknya yang bakal melakar hala tuju strategik rantau ini bagi 20 tahun akan datang.

“Ini kita akan lakukan dengan berpaksikan kepada empat tonggak, tonggak politik-keselamatan, ekonomi, sosiobudaya dan kita nak buat connectivity sebab kesinambungan dan connectivity di antara negara-negara ASEAN ini amat penting.

“Ia akan menjadikan sebagai satu rantau yang besar di mana mobiliti orang di ASEAN ini akan dipermudahkan, mobiliti pemindahan barang-barang (perdagangan) akan dipermudahkan dan ia akan menjadikan suatu pemangkin kepada kita punya tonggak ekonomi iaitu untuk kita berdagang dan juga tingkatkan pelaburan antara negara ASEAN,” katanya.

Ketika ini katanya, banyak negara sekarang ini berlumba-lumba untuk menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) dengan ASEAN.

“Itu panduan tonggak negara-negara ASEAN lebih rapat bersama. Ada usaha nak memecahbelahkan kita. Itu yang mahu kita elakkan supaya kesepakatan ASEAN ini tetap utuh. Kesepakatan, kerjasama dan kesefahaman ASEAN ini amat perlu terutama di saat geopolitik dunia yang tidak stabil.

“Adalah lebih penting untuk kita perkukuhkan kesepakatan ASEAN sebagai blok yang aman, stabil dan punyai potensi perkembangan ekonomi yang kuat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas