MALAYSIA dan Thailand membincangkan mengenai isu akses pasaran serta aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara dalam satu pertemuan yang diadakan semalam.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata Malaysia dan Thailand mempunyai kerjasama erat dalam bidang pertanian.
“Dalam pertemuan itu, perkara yang dibangkitkan termasuk permohonan akses pasaran ke Thailand yang melibatkan eksport udang putih dan siakap sejuk dingin (chilled) serta bahagian kaki dan dalaman ayam.
“Pihak Thailand akan mendapatkan maklum balas dan status terkini bagi kedua-dua perkara tersebut daripada agensi yang berkaitan.
“Malaysia juga telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan maklumat mengenai syarat-syarat transit bagi produk berasaskan tumbuhan yang dihantar dari Malaysia ke China menggunakan perkhidmatan keretapi kargo ASEAN Express yang perlu melalui negara Thailand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya di akhir pertemuan, turut diumumkan mengenai penyertaan Malaysia dalam THAIFEX – Anuga Asia, satu ekspo perdagangan sektor makanan yang akan diadakan di Bangkok dalam bulan Mei 2025.
Terdahulu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah menerima kunjungan hormat daripada Wakil Perdagangan Thailand, Tuan Yang Terutama Chai Wacharonke di Putrajaya pada 24 Mac 2025.
Thailand merupakan antara rakan dagang utama Malaysia. Pada tahun 2024, jumlah perdagangan sektor pertanian antara Malaysia dan Thailand mencatat nilai RM20.96 bilion. – WILAYAHKU