Berita

Malaysia, Thailand komited capai sasaran dagangan dua hala AS$30 bilion

Foto: BERNAMA
- Diterbit 16 Disember 2024 12:46 PM MYT

MALAYSIA dan Thailand menyatakan komitmen untuk bekerjasama lebih rapat dalam sektor ekonomi bagi mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion menjelang 2027.

Perkara itu ditegaskan dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra sejurus selepas Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ke-7 (7th Annual Consultation – AC) di Putrajaya hari ini.

Rundingan tahunan itu diadakan bersempena lawatan sulung Paetongtarn ke negara ini sejak memegang tampuk kerajaan pada Ogos lalu.

Menurut kenyataan bersama itu, kedua-dua pemimpin mengakui peranan penting sektor swasta dalam memperkukuh perkongsian ekonomi antara Malaysia dan Thailand.

“Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan memperkukuh hubungan ekonomi, terutamanya dalam sektor-sektor strategik seperti industri getah dan halal.

“Mereka turut menyoroti kepentingan ekonomi digital dan menggalakkan pihak berkuasa yang berkaitan dari kedua-dua negara meneroka kerjasama yang lebih mendalam melalui perjanjian persefahaman (MoU) antara Agensi Penggalakan Ekonomi Digital (DEPA) Thailand dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“MoU berkenaan ditandatangani tahun lalu untuk mewujudkan persekitaran kondusif yang menarik sokongan daripada pelabur untuk syarikat teknologi berpotensi di kedua-dua negara,” jelas kenyataan bersama itu yang dikongsi Wisma Putra.

Kenyataan bersama itu menambah, kedua-dua pemimpin turut mengalu-alukan usaha untuk mempromosikan pelancongan dan memudahkan pergerakan pelancong antara Malaysia dan Thailand serta rantau yang lebih luas.

Dalam hal ini katanya, kedua-dua Perdana Menteri menyambut baik perbincangan lanjut oleh pegawai kedua-dua negara mengenai skim ‘Enam Negara, Satu Destinasi’ yang dicadangkan Thailand.

Dalam hal yang sama, kedua-dua negara bersetuju untuk meneroka potensi kempen bersama untuk mempromosikan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Amazing Thailand Grand Tourism Year 2025 serta menyatakan sokongan terhadap kempen pelancongan masing-masing.

Menyedari bahawa ekonomi halal global bakal mencapai AS$5 trilion menjelang 2030, kedua-dua pemimpin bersetuju membangunkan lebih banyak keserasian industri halal di kedua-dua negara.

“Ini termasuk meneruskan aktiviti promosi eksport bersama bagi barangan dan perkhidmatan halal; pertukaran amalan terbaik dan pengetahuan perniagaan; penyelidikan dan pembangunan produk halal serta kerjasama yang lebih aktif melibatkan sektor awam dan swasta Malaysia dan Thailand.

“Malaysia bersedia menyokong pegawai Thailand dalam membangunkan ekosistem halal tempatan dengan menawarkan kursus di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

“Inisiatif ini akan memberikan peluang bagi Thailand untuk mendapatkan pandangan tentang piawaian dan amalan halal sambil membantu mengukuhkan sektor halalnya,” kata kenyataan bersama itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas