MALAYSIA akan terus mendesak agar usaha bersama di peringkat antarabangsa diperkuatkan untuk memastikan Israel dihadapkan ke muka pengadilan atas jenayah perang terhadap rakyat Palestin.
Kementerian Luar Negeri memberitahu, keberanian dan ketegasan Malaysia memanfaatkan setiap platform menunjukkan komitmen negara ini dalam memperjuang keadilan dan hak asasi manusia di peringkat global.
Katanya, cadangan pembekuan dan penggantungan keahlian Israel telah dikemukakan Malaysia sebagai salah satu tindakan masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
“Ia merupakan punca kuasa pelaksanaan Pendapat Nasihat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) bertarikh 19 Julai lalu mengenai kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Seri Mujahid Yusof mengenai perkembangan lobi Malaysia dalam menguatkuasakan keputusan mahkamah antarabangsa terhadap jenayah perang Israel.
Kementerian Luar Negeri menambah, hasil gesaan Malaysia, cadangan pembekuan dan penggantungan Israel telah dipersetujui dalam Resolusi Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam pada 11 November lepas.
Katanya, usaha berterusan Malaysia untuk dunia memberi perhatian terhadap isu Palestin telah meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Israel dan membuka ruang bagi negara-negara Arab untuk bersama-sama mendesak tindakan undang-undang terhadap rejim
Zionis.
“Semasa Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menyeru negara-negara peserta ke
arah kata sepakat penggantungan, malah, penyingkiran Israel daripada PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Berrsatu),” jelasnya.
Menurut kementerian itu, Malaysia juga telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran global mengenai jenayah perang yang dilakukan oleh Israel.
Katanya, pemimpin-pemimpin dan pegawai kanan negara tidak pernah gagal untuk mengangkat isu ini dalam setiap pertemuan dengan negara-negara lain, di mana penekanan diberi kepada perlunya tindakan diambil terhadap Israel di peringkat antarabangsa. – WILAYAHKU