Oleh ZULKIFLI SULONG
BARU-BARU ini, ketika bermain-main telefon bimbit, melintas di wall saya satu video TikTok tentang isu obesiti atau kegemukan. Yang mengejutkan saya video itu menayang satu maklumat bahawa Malaysia adalah negara paling ramai orang yang obesiti di Asia Tenggara.
Malaysia mencatatkan 44.2 peratus (%) manakala Vietnam negara paling rendah iaitu 10.2%. Thailand mencatatkan negara kedua di Asia Tenggara dengan catatan 32.2%. Namun setelah disiasat rupanya ia adalah data lama tetapi tidaklah terlalu lama.
Lalu saya membuat kajian lagi mengenainya. Saya terjumpa satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Malaysia yang dikeluarkan pada Mac 2024.
“Menurut data terkini oleh The World Factbook – Central Intellange Agencie dari 2016 hingga 2024, Malaysia muncul sebagai negara ke-2 teramai berdepan masalah berat badan di Asia Tenggara.
“Brunei duduki tangga teratas dengan 28.2% rakyatnya mempunyai masalah berat badan. Malaysia mengutip peratusan sebanyak 19.7%. Manakala Singapura dan Thailand, terikat pada 11.6%, Filipina, Indonesia, Myanmar, Laos dan Kemboja masing-masing melengkapkan data masalah berat badan bagi rantau ini.
“Vietnam pula mencatatkan peratusan yang paling rendah dalam kalangan negara Asia Tenggara dengan kadar 1.7%. Terakhir sekali adalah Timor-Leste yang berada di kedudukan terbawah,” lapor MKN.
Ada yang kata, kegemukan adalah ciri-ciri negara maju. Rakyatnya senang dan tidak menghadapi masalah makanan. Pendek kata, makanan tidak ada masalah di negara kita. Oleh itu, kita tidak perlu risau mengenainya.
Namun saya terfikir, Vietnam juga sedang berkembang pesat. Sudah tentu di negara itu tidak menghadapi masalah ketidakcukupan makanan tetapi kenapa mereka boleh kekal tidak obesiti sebagaimana rakyat kita?
Menurut pakar, punca utama masalah kegemukan ini adalah gaya hidup dan makanan yang dimakan oleh individu. Berdasarkan perkara itu, jika kita melihat cara rakyat negara ini makan berbanding Vietnam jelas perbezaannya.
“Kalau engkau pagi-pagi dah pelahap nasi lemak dan roti canai serta teh tarik, tengah hari nasi kandar dengan teh ais, petang ABC, malam makan nasi lagi dengan air sejuk dan sebelum tidur ada supper di kedai mamak lagi, bagaimana tidak gemuk?” kata seorang kawan apabila saya bangkitkan perkara ini.
Apabila kita melihat makanan Vietnam pula, ia amat berlainan dengan makanan harian kita.
Masakan Vietnam dicirikan oleh penggunaan bahan-bahan segar, penggunaan minimum tenusu dan minyak, tekstur pelengkap dan pergantungan yang sangat tinggi kepada herba dan sayur-sayuran.
Keseimbangan lima unsur rasa asas (pedas, masam, pahit, masin dan manis) adalah ciri utama makanan Vietnam, tulis seorang wartawan tentang masakan Vietnam.
Isunya sekarang bolehkah kita mengubah menu makanan kita? Ia sudah tentu memerlukan satu usaha yang berpanjangan tetapi usaha yang berpanjangan hanya akan terjadi kalau ia dimulakan.
Saya menulis kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad agar mula mendidik rakyat Malaysia tentang kepentingan menjaga makanan untuk mengelakkan kita dihambat oleh masalah obesiti yang berpanjangan selepas ini.
Namun sehingga kini saya belum menerima sebarang maklum balas. Saya sangat berharap, ketika beliau menjadi Menteri Kesihatan, sekurang-kurangnya ada sedikit usaha untuk melawan masalah obesiti ini.
Apa salahnya kita galakkan kedai-kedai mamak mengubah suai sedikit menu mereka agar lebihkan sedikit sayur-sayuran dalam makanan mereka?
Atau apa salahnya kita sebagai pengguna meminta ditambahkan sayur dalam makanan kita ketika memesan makanan sama ada di kedai-kedai mamak atau tempat makan yang lain?
Atau apa salahnya kementerian atau lain-lain badan mewajibkan atau mensyaratkan kepada para pengusaha makanan di kantin-kantin sekolah atau dewan makan asrama pelajar agar menambahkan jumlah kuantiti sayur dalam menu masakan mereka?
Kita boleh juga membuat pertandingan memasak secara sihat dalam kalangan chef di negara ini. Kita siarkan secara langsung di TV misalnya. Pemenangnya hendaklah dinilai dari segi nilai kesihatannya, realistik atau tidak bahan-bahannya untuk dilaksanakan dan macam-macam lagi selain rasanya yang sedap.
Jika kita boleh buat begini saya yakin, kita akan menerap budaya makan baharu dalam kalangan rakyat negara ini di mana makanannya sedap dan juga sihat.
Saya mohon pertimbangan semua.
SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.