Berita

Malaysia terbentuk atas semangat federalisme

- Diterbit 12 Jun 2024 5:11 PM MYT

MALAYSIA terbentuk atas persetujuan semua negeri berlandaskan prinsip federalisme yang menjadi teras utama dalam Perlembagaan Persekutuan, demikian menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata pembangunan dan kemajuan negara adalah berteraskan kekuatan persekutuan bersama-sama kesemua negeri.

“Oleh itu Perlembagaan Persekutuan menjadi asas dalam menjamin hak negeri, dan dalam menentukan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan-kerajaan negeri,” katanya kepada media selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Beliau berkata jemaah Menteri mengambil maklum kenyataan yang dibuat beberapa pihak berkenaan hubungan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri.

Sementara itu berkaitan perkara-perkara mengenai Sabah dan Sarawak, Fahmi berkata perbincangan adalah berpandukan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas