MALAYSIA akan menegaskan tentangannya terhadap sebarang cadangan aneksasi atau usaha untuk memindahkan secara paksa rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan.
Menurut Wisma Putra, perkara itu akan disuarakan menerusi Sesi Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi, esok.
Jelasnya, delegasi Malaysia dalam sesi berkenaan akan diketuai Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Sesi Tergempar ini akan membincangkan perkembangan gencatan senjata di Gaza serta kegusaran berhubung cadangan pengilhakan (aneksasi) Gaza yang akan mengakibatkan pemindahan secara paksa rakyat Palestin daripada tanah air mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Wisma Putra menambah, Malaysia juga akan menzahirkan komitmen penuhnya dalam membantu usaha pembinaan semula dan pemulihan Gaza, termasuk dengan mengadakan kerjasama
pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan inisiatif serantau.
“Penyertaan Menteri Luar Negeri ke Sesi Tergempar ini menggariskan komitmen teguh Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dalam mewujudkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Donald Trump mencadangkan rancangan untuk ‘membersihkan’ Gaza dengan menggesa rakyat Palestin berpindah ke Mesir atau Jordan.
Walau bagaimanapun kedua-dua negara itu dengan tegas menolak cadangan tersebut. – WILAYAHKU