Berita

Malaysia sokong keputusan ICC keluar waran terhadap Netanyahu

- Diterbit 22 November 2024 5:01 PM MYT

MALAYSIA menyokong penuh keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanannya, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan perang di Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan itu wajar kerana ia berdasarkan bukti melibatkan perlanggaran peraturan tentang kezaliman, penindasan dan pembunuhan berterusan.

“Keputusan ICC wajar kerana dia berlandaskan hukum bukti tentang kezaliman di penindasan dan pembunuhan berterusan.

“Jadi kita alu-alukan keputusan itu. Kalau ada mana-mana lawatan dia keluar harus ditangkap. Saya perhatikan ada beberapa negara Eropah yang sudah buat kenyataan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Husna, Presint 9, Putrajaya.

Beliau diminta mengulas keputusan semalam yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan perang di Gaza.

Waran tangkap terbaharu yang dikeluarkan ICC itu turut melibatkan Ketua Hamas, Ibrahim al-Masri.

Menurut pendakwaraya ICC, Karim Khan dalam satu kenyataan, waran tangkap itu dikeluarkan susulan pembabitan mereka dalam jenayah perang di Gaza dari 7 Oktober 2023 hingga 20 Mei lalu.

Waran itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel di Gaza baru-baru ini memasuki tahun kedua, telah membunuh kira-kira 44,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Serangan Israel telah menyebabkan hampir keseluruhan penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan berterusan dan disengajakan yang telah menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, mendorong penduduk di ambang kebuluran.

Sementara itu, Anwar berkata itu hak Amerika Syarikat untuk menolak keputusan ICC tetapi percaya keputusan dunia sebaliknya.

“Ya, itu keputusan AS (Amerika Syarikat), tetapi saya rasa keputusan dunia sebaliknya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas