Berita

Malaysia sedia galas tanggungjawab rintis kebangkitan ASEAN

- Diterbit 30 Disember 2024 7:23 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata menjelang 2025, Malaysia bersedia menggalas tanggungjawab merintis kebangkitan ASEAN.

Beliau berkata ini dengan membawa rantau ini ke era baharu yang lebih terangkum dan mampan.

“Dengan sokongan padu masyarakat antarabangsa, kita melangkah ke tahun hadapan dengan penuh keyakinan untuk memacu kemakmuran bersama,” katanya di Facebook.

Beliau berkata rangkaian lawatan rasmi ke luar negara serta kunjungan pembesar dunia ke Malaysia sepanjang tahun ini telah memperkukuh hubungan dengan negara-negara sahabat.

Jelasnya lagi, ia telah melonjak pelaburan dan eskport negara serta menjulang negara di persada dunia.

Menurut Anwar, Malaysia kini dilihat sebagai rakan strategik yang dihormati, menerima pengiktirafan daripada pemimpin negara kuasa besar atas peranan negara dalam memperjuangkan isu-isu global.

“Ini terutama dalam mendukung keadilan buat rakyat Palestin serta memperjuang tatanan dunia yang lebih adil dan seimbang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas