MALAYSIA menzahirkan kesediaan membantu Timor Leste untuk membangunkan industri halal yang kian berkembang pesat ketika ini.
Komitmen itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima lawatan rasmi rakan sejawatnya dari Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmao.
Menurut kenyataan bersama yang dikongsi Wisma Putra itu, ia bertujuan membuka potensi yang amat besar dalam industri berkenaan, menggalakkan pertumbuhan bersama dan memperkukuh kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Jelas kenyataan bersama itu, pasaran halal global dianggarkan bernilai lebih AS$3 trilion namun hanya sekitar 20 peratus daripada permintaannya yang dapat dipenuhi setakat ini.
“Kedua-dua pemimpin juga menekankan kepentingan program pembangunan kapasiti serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dapat memudahkan pembangunan kerjaya serta menyokong pertumbuhan ekonomi di peringkat individu dan komuniti.
“Seiring dengan itu, Malaysia menyatakan komitmennya untuk menyediakan biasiswa serta kursus dan latihan yang disesuaikan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),” jelas kenyataan bersama itu.
Kenyataan itu menyebut, inisiatif-inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam menyokong Timor Leste dalam perjalanannya untuk menjadi ahli penuh ASEAN.
Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin mengakui kepentingan kesalinghubungan antara Malaysia dan Timor Leste yang akan menjadi pemangkin mempromosikan pelancongan dan mengukuh hubungan antara rakyat.
Untuk itu kedua-dua pemimpin memandang positif Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) yang ditandatangani pada 25 Jun lalu bagi menggalakkan syarikat penerbangan dari kedua-dua negara menyediakan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Dili.
“Kedua-dua pemimpin menyambut baik penerbangan sulung dari Kuala Lumpur ke Dili pada suku pertama 2025 yang akan dikendalikan oleh Batik Air yang akan membuka jalan untuk kerjasama selanjutnya dalam pelbagai sektor seperti pelancongan, perdagangan, pendidikan dan teknologi,” katanya.
Mengenai keanggotaan ASEAN, Anwar menegaskan komitmen Malaysia untuk menyokong negara itu untuk menjadi ahli penuh ASEAN.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan negara-negara anggota ASEAN dan Rakan Dialog, bagi mempercepatkan proses kemasukan TimorLeste.
“Malaysia percaya bahawa keahlian Timor Leste akan mengukuhkan matlamat strategik ASEAN dengan menyumbang kepada keamanan, kestabilan, dan pembangunan serantau,” jelasnya.
Xanana Gusmao dalam rangka lawatan rasminya ke Malaysia sehingga esok dan ia merupakan lawatan pertama beliau ke negara ini selepas dilantik ke jawatan itu pada 1 Julai 2023.
Pada 2023, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor Leste berjumlah AS$43.7 juta (RM196.7 juta).
Jumlah eksport Malaysia ke Timor Leste mencatat AS$43.3 juta (RM195.0 juta), manakala jumlah import produk daripada Timor Leste pula berjumlah AS$0.4 juta (RM1.7 juta). – WILAYAHKU