PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mensasarkan untuk mempelbagaikan usaha diplomasi ekonominya menerusi penyertaan dalam platform antara kerajaan seperti Blok Ekonomi Organisasi Antara Kerajaan, Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS).
Beliau berkata penyertaan dalam BRICS tidak hanya mengukuhkan hubungan ekonomi dengan India tetapi turut membuka ruang kerjasama luas merentasi spektrum industri dan dasar.
Katanya, Malaysia turut mahu meningkatkan kerjasama melalui inisiatif bersama dan perkongsian strategik.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties di Sapru House Indian Council of World Affairs (ICWA).
Menurutnya lagi, dalam program itu, beliau turut menyentuh naratif Global South.
“Yang mana Malaysia percaya ia tidak dapat dielakkan dan kebangkitannya akan memupuk perpaduan dalam kalangan pelbagai negara sambil menerima kepelbagaian dan perbezaan mereka.
“Naratif ini mewakili satu suara yang tidak lagi boleh diabaikan dalam kemunculan aturan antarabangsa dan pada hemat saya, ia adalah perkara yang tidak dapat dielakkan,” katanya.
Tambahnya, sebagai pemacu utama kemakmuran global, Global South kini merangkumi kira-kira 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 85 peratus daripada populasi global.
Beliau berkata menjelang 2030, tiga daripada empat ekonomi terbesar dunia dijangka datang dari Global South antaranya ialah India.
“Saya juga membangkitkan soal kepengerusian ASEAN tahun depan dan memberi jaminan Malaysia akan bekerjasama rapat dengan India dan Rakan Dialog yang lain.
“Saya percaya selaku Rakan Dialog ASEAN, India akan terus memainkan peranan penting dalam memupuk pertumbuhan ekonomi, kerjasama keselamatan, dan pertukaran budaya di seluruh rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata Malaysia juga merancang untuk meningkatkan penglibatan antara ASEAN dan Bay of Bengal Initiative for Multi-Sectoral Technical and Economic Cooperation (BIMSTEC). – WILAYAHKU