KEKURANGAN tenaga kerja dalam sektor getah, terutama dalam aktiviti penorehan, menyebabkan ribuan hektar ladang tidak diusahakan, sekali gus menjejaskan pengeluaran getah tempatan dan memaksa industri hiliran bergantung kepada import.
Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Malaysia mengimport 1.032 juta tan getah asli pada 2024 dengan nilai RM7.598 bilion, meningkat sebanyak RM1.869 bilion atau 32.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Meskipun tiada data khusus mengenai nilai kerugian akibat kekurangan tenaga kerja, kementerian menganggarkan negara boleh menjana tambahan RM2.21 bilion kepada KDNK sekiranya 409,000 hektar tanah getah yang tidak bertoreh dapat diusahakan dengan kadar produktiviti semasa iaitu 1,400 kilogram sehektar setahun,” katanya dalam jawapan di Dewan Negara.
KPK berkata, bagi menangani isu ini, kerajaan sedang merancang program konsolidasi kawasan getah matang terbiar bagi membolehkan ia kembali ditoreh.
“Program ini akan dilaksanakan sebagai agenda nasional dengan penyertaan semua agensi berkaitan,” katanya.
Jelasnya, pelaksanaan strategi ini dijangka meningkatkan pengeluaran getah tempatan secara beransur-ansur, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import, menstabilkan rantaian bekalan industri, dan memastikan kesejahteraan pekebun kecil dalam jangka panjang.-WILAYAHKU