Berita

Malaysia-Republik Korea bentuk kerjasama pasaran karbon dua hala

- Diterbit 27 November 2024 3:05 PM MYT

MALAYSIA dan Republik Korea memperkukuh kerjasama dalam menangani perubahan iklim melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pendekatan kerjasama dua hala di bawah Artikel 6 Perjanjian Paris.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan memberitahu perjanjian tersebut mengukuhkan komitmen kedua-dua negara untuk mencapai sasaran Sumbangan Yang Ditetapkan Secara Nasional (NDCs) di bawah Perjanjian Paris serta aspirasi jangka panjang masing-masing.

“Selain itu, ia turut mempromosikan pembangunan mampan dan integriti alam sekitar. MoU ini juga selaras dengan keputusan rundingan Artikel 6 yang diterima pakai pada UNFCCC COP29 di Baku, Azerbaijan.

“Malaysia kekal teguh dalam usahanya mencapai sasaran iklim di bawah Perjanjian Paris, dengan memberi penekanan kepada pembangunan masa depan yang rendah karbon dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim, serta memupuk pertumbuhan mampan dan hijau.

“Kerjasama dengan Republik Korea dijangka membawa manfaat penting antaranya membuka peluang baharu dan tambahan untuk pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG), memudahkan pelaburan asing, memungkinkan pemindahan teknologi, meningkatkan kepakaran teknikal serta memastikan pendekatan yang lebih kukuh dan telus dalam menangani perubahan iklim melalui kerjasama antarabangsa,” tulis kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menandatangani MoU bersama Menteri Alam Sekitar Republik Korea, Kim Wan-sup. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas