Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Artikel

Malaysia pilihan tempat bersara

- Diterbit 21 Jun 2024 10:50 AM MYT

WALAUPUN ramai rakyat Malaysia bekerja di Singapura dengan pendapatan lebih tinggi kerana kadar pertukaran wang republik tersebut, rupanya ramai rakyat negara itu memilih untuk bersara di Malaysia.

Berdasarkan kajian serta tinjauan yang dijalankan oleh Blackbox Research and Qualtrics yang dilaporkan oleh media baru-baru ini, seorang daripada tiga rakyat Singapura cenderung menjadikan Malaysia tempat bersara.

Kawan-kawan Kedai Kopi sedar selama ini rakyat Singapura menjadikan Malaysia destinasi pelancongan utama. Dengan menempuh jarak yang dekat menyeberangi Tambak Johor, mereka sudah sampai di bumi Malaysia. Ada juga yang memilih menaiki penerbangan ke ibu negara.

Sebenarnya ramai telah berpindah menghabiskan usia di negara ini khususnya yang memilih menyertai Program Malaysia Rumah Kedua (MM2H). Peserta program menyifatkan negara ini menarik dengan suasana kehidupan serta persekitaran juga budaya yang banyak persamaan dengan Singapura.

Kawan-kawan Kedai Kopi difahamkan, ramai lagi rakyat Singapura menunjukkan minat terhadap Program MM2H, yang akhirnya boleh menjurus kepada pemilihan Malaysia sebagai destinasi bersara.

Perkembangan ini membuktikan kehebatan Malaysia kepada warga luar. Mereka bukan sahaja boleh memilih kedamaian dan keselesaan tinggal di negara ini tetapi juga mampu memiliki hartanah pada harga lebih rendah berbanding di negara itu. Malaysia memang istimewa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas