TINDAKAN menaikkan tarif import Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia merupakan perang ekonomi untuk mengukuhkan penguasaan AS dalam politik antarabangsa.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, langkah itu bukan sekadar bersifat keuntungan perdagangan semata-mata kerana ia jelas menjurus ke arah untuk menekan ekonomi negara lain.
“ABIM berpandangan bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara yang komited terhadap keadilan ekonomi global boleh memainkan peranan aktif dalam menyatukan negara-negara serantau dan termasuk negara Islam untuk menentang hegemoni ini secara kolektif dan berprinsip.
“Pertemuan antara China, Jepun dan Korea Selatan di Kuala Lumpur merupakan antara indikasi kepercayaan negara-negara besar terhadap peranan Malaysia sebagai platform dialog yang neutral dan strategik.
“Ini membuka ruang persimpangan baru bukan sahaja untuk negara-negara ASEAN, tetapi juga negara-negara dari dunia Islam, Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain untuk menerokai ruang ekonomi serta perdagangan baru yang lebih adil dan seimbang,” ujarnya.
Beliau turut menggesa negara-negara OIC terutamanya negara-negara teluk (GCC) untuk memanfaatkan momentum ini dan meletakkan asas kerjasama ekonomi yang lebih kukuh bersama blok ASEAN plus 3 (China, Jepun dan Korea).
“Antara ruang yang boleh dimanfaatkan ialah ketika Sidang kemuncak ASEAN, GCC dan China yang dijadualkan pada akhir Mei 2025 ini.
“Dunia Islam perlu proaktif untuk memainkan peranan strategik dalam mencipta lapangan ekonomi global yang lebih saksama untuk semua,” katanya.
Terdahulu, ABIM menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa kerjasama lebih erat perlu dijalankan dalam kalangan negara-negara ASEAN untuk menghadapi krisis ekonomi yang dicetuskan oleh Presiden AS, Donald Trump. – WILAYAHKU