Berita

Malaysia perlu ada polisi pragmatis depani cabaran geopolitik semasa – Zambry

- Diterbit 17 Julai 2023 1:00 PM MYT

MALAYSIA perlu mempunyai pendekatan untuk dilihat sebagai sebuah negara berkuasa tengah atau ‘middle power’ dengan mempunyai polisi pragmatis dalam mendepani cabaran geopolitik semasa, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata Malaysia berada di posisi penting dalam situasi geopolitik semasa yang melibatkan persaingan sengit antara kuasa besar China dan Amerika Syarikat (AS) dan perlu ada polisi pragmatis dalam mendepani cabaran geopolitik berkenaan.

“Kita kena ambil pendekatan bagaimana hendak letak Malaysia sebagai ‘middle power’. Kita tahu kita bukan kuasa besar tetapi pada masa sama kita tidak boleh dilihat sebagai kuasa yang tidak mempunyai kesan langsung.

“Tidak boleh dinafikan Malaysia berada di kawasan paling strategik ketika persaingan kuasa besar ini. Dengan Malaysia berada di kawasan perairan sangat sibuk seperti Laut China Selatan dan Selat Melaka, sudah tentunya Malaysia perlu jadi negara yang ada polisi pragmatis dalam melihat persekitaran yang berlaku, “ katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat kedua Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negeri (CCFP) di Wisma Putra di sini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ahli-ahli CCFP  terdiri pakar-pakar tempatan dalam pelbagai bidang yang mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa serta para perwakilan Malaysia di luar negara yang menyertai secara maya.

Sehubungan itu, beliau berkata dasar berkecuali yang dirangka Malaysia sangat penting supaya tidak dilihat sebagai negara yang terlalu condong ke kanan atau kiri ataupun menyokong mana-mana negara berkuasa besar yang akan memberikan impak tidak seimbang kepada Malaysia.

Katanya, Malaysia perlu memastikan setiap dasar berkecuali diambil memberikan kesan positif terhadap persekitaran geopolitik semasa termasuk di Asia dan Indo Pasifik.

Mengulas mengenai mesyuarat hari ini, Zambry berkata ia membincangkan dua perkara utama iaitu kedudukan ekonomi dunia termasuk kesan daripada persaingan sengit daripada kuasa besar China dan AS terhadap negara lain seperti Malaysia yang kuasanya berada di tengah-tengah.

Katanya, mesyuarat turut membincangkan cabaran geopolitik semasa dan apakah sebenarnya pendekatan Malaysia apabila ada negara tertentu menubuhkan kerjasama keselamatan seperti AUKUS (pakatan Australia, United Kingdom dan AS).

Sementara itu, Zambry dalam satu kenyataan berasingan berkata perlunya ada satu usaha diplomasi ekonomi di peringkat kementerian yang lebih proaktif dan berterusan, melalui kerjasama erat dengan agensi-agensi kerajaan yang menguruskan hal ehwal perdagangan dan ekonomi antarabangsa.

“Aspek yang lebih penting adalah kestabilan negara yang akan menarik minat lebih banyak pelabur asing untuk melabur di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata isu-isu seperti perubahan iklim, pelucutan senjata, sains dan teknologi, serta keterjaminan makanan dan tenaga akan terus diperjuangkan oleh Malaysia di peringkat global.

Menjelang Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 kelak, Malaysia akan terus berusaha bersama-sama rakan-rakan ASEAN untuk memelihara kesepakatan dan kesejahteraan ASEAN.

Penubuhan CCFP adalah bertujuan sebagai wadah konsultasi dengan pakar dan pemegang taruh berkenaan hal ehwal luar negeri bagi membolehkan Wisma Putra meraih perspektif dan idea baharu berkaitan hal ehwal luar negeri. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas