Berita

Malaysia perkukuh kerjasama pendidikan tinggi dengan Korea Selatan, Arab Saudi

ZAMBRY Abd Kadir (tiga dari kiri) bersama delegasi yang menyertai Persidangan Antarabangsa Human Capability Initiative (HCI) 2025 di Riyadh, Arab Saudi.
- Diterbit 16 April 2025 5:48 PM MYT

MALAYSIA dan Korea Selatan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama di peringkat pegawai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kedua-dua negara bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi.

Perkara itu diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam pertemuannya bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Korea Selatan, Dr Lee Ju-ho sempena Persidangan Antarabangsa Human Capability Initiative (HCI) 2025 di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.

Menurut beliau, pertemuan itu penuh simbolik bersempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Malaysia-Korea Selatan dan sebagai menyusuli lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara tersebut pada November lalu.

“Kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama di peringkat pegawai di kedua-dua kementerian untuk menggerakkan memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebelum ini.

“Persetujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi juga turut dicapai termasuk pelaksanaan program mobiliti pelajar dan pensyarah, penglibatan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Politeknik serta Kolej Komuniti dalam kolaborasi teknikal,” katanya.

Beliau memberitahu, kerjasama itu juga menerusi penglibatan syarikat multinasional Korea Selatan dalam pelaksanaan program ‘Work-based Learning’ (WBL) di Malaysia.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Arab Saudi, Dr. Yousef Abdullah Al-Benyan.

Ini katanya, bagi membincangkan kolaborasi kedua-dua negara terutamanya dalam program perkongsian tenaga mahir dan teknologi terkini dalam bidang pendidikan tinggi selain daripada model pengurusan universiti yang sedang dibangunkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Selain itu beliau juga mengadakan perbincangan dengan beberapa menteri pendidikan iaitu Menteri Pendidikan Nigeria, Dr. Maruf Tunji Alausa; Menteri-Menteri Negara bagi Pendidikan Tinggi, Buruh dan Pembangunan Kemahiran Maldives, Ahmed Shafeeu dan Menteri Pendidikan dan Latihan Vokasional Zanzibar, Lela Muhamed Mussa.

“Kesemuanya menyatakan hasrat melihat model pendidikan tinggi Malaysia untuk mereka ambil dan aplikasi dalam negara mereka termasuklah bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Masing-masing kagum dengan pembangunan pendidikan tinggi Malaysia yang bergerak selari dengan pembangunan arus semasa dan perancangan yang baik dari segi pelaksanaan dasar pendidikan,” katanya.

ZAMBRY Abd Kadir diundang sebagai panelis dalam forum bertajuk ‘Human Capabilities as an Economic Catalyst – Unlocking Potential for Prosperity’.

Mengenai HCI 2025, beliau berkata, pihaknya diundang sebagai panelis dalam forum bertajuk ‘Human Capabilities as an Economic Catalyst – Unlocking Potential for Prosperity’, yang menjadi pentas perbincangan global mengenai potensi modal insan sebagai pemacu utama kemakmuran ekonomi.

“Dalam forum ini, saya berkongsi tentang 10 ‘shifts’ yang KPT akan lakukan dalam Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 yang turut melibatkan beberapa perkara tentang kecerdasan buatan (AI).

“Kita juga memperkenalkan konsep ‘unbundling’ iaitu pemecahan struktur program akademik kepada komponen kecil seperti ‘microcredentials’, kursus individu, modul pembelajaran, latihan industri dan projek.

“Ini sesuatu yang mungkin baharu dan boleh diperkongsikan dengan negara-negara lain agar pelajar diberi lebih fleksibel dan pilihan terbuka dengan kursus yang mereka ambil,” katanya.

Dengan penyertaan lebih 300 jurucakap dari lebih 100 negara serta kehadiran lebih 12,000 peserta, HCI 2025 menjadi medan penting untuk Malaysia terus memperkukuh jaringan antarabangsa serta memperlihatkan usaha serius negara dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang mampan, inovatif dan berdaya saing global.

Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan KPT dalam memperkukuh jaringan antarabangsa dan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang berdaya saing di peringkat global. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas