Artikel

Malaysia paling disayangi

Gambar hiasan
- Diterbit 12 Julai 2024 10:50 AM MYT

KASIH sayang atau rasa cinta tidak boleh dipaksa atau dipaksakan kepada orang lain. Sebaliknya ia terbit daripada hati sehingga membenihkan kemesraan setelah mengenali hati budi masing-masing.

Tetapi kawan-kawan Kedai Kopi bukan membicarakan isu cinta antara teruna dara. Yang ingin diutarakan ialah kasih dan cinta orang luar terhadap Malaysia sehingga meletakkan negara ini di tangga pertama bagi kategori negara paling disayangi di Asia.

Kedudukan ini mengatasi 20 negara Asia lain berdasarkan penyelidikan oleh Insider Monkey, sebuah portal antarabangsa. Malaysia meninggalkan Taiwan di tangga kedua, Singapura di tangga ketiga, Jepun di tangga keempat dan Korea Selatan tangga keenam. Thailand dan Indonesia masing-masing pada tangga ke-11 dan ke-12.

Tentunya Malaysia disayangi kerana pelbagai keistimewaan yang dimiliki dan ditawarkan. Pada hemat kawan-kawan Kedai Kopi, ciri utama ialah semangat perpaduan dan kemesraan yang dipamerkan oleh rakyat pelbagai kaum negara ini terhadap negara luar sehingga mereka jatuh hati.

Selain itu, tidak kurang penting ialah nama Malaysia harum di peringkat antarabangsa dengan kedudukan politik yang stabil serta tahap sosioekonomi yang mantap. Pelbagai kaum membentuk kepelbagaian budaya yang unik.

Malaysia juga memiliki pelbagai tarikan pelancongan memikat hati dari Perlis hingga ke Sabah. Juga tidak lupa terdapat pelbagai jenis makanan yang melambangkan identiti setiap kaum. Ini sesuatu yang jarang terdapat di negara lain.

Kawan-kawan Kedai Kopi bangga dengan kejayaan Malaysia muncul negara paling disayangi di Asia. Bukan mudah menempa nama mencapai tahap ini melainkan dengan usaha bersungguh-sungguh serta komitmen tinggi sekalipun menghadapi saingan hebat daripada negara popular lain di Asia.

Iktibar yang boleh diambil daripada pengiktirafan ini ialah jika orang luar begitu menyayangi negara ini, kita warganegara mesti berkali-kali ganda kasihnya pada bumi tempat tumpah darah. Peliharalah keamanan, kesejahteraan dan kejayaan yang dinikmati agar negara tercinta ini terus maju jaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas