Lensa

Malaysia Open House @ ASEAN 2025 meriah di KLCC

- Diterbit 19 April 2025 1:00 PM MYT

SYUQQREE DAIN

ORANG ramai tidak melepaskan peluang menghadiri Malaysia Open House Exhibition @ ASEAN 2025 yang berlangsung dari 7 hingga 10 April 2025 di Aras 3, Dewan 7A, 7B dan 7C, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Pameran anjuran Kementerian Kewangan ini dibuka secara percuma kepada semua pengunjung dari pukul 9.30 pagi hingga 6 petang setiap hari, bertujuan memperkenalkan produk tempatan serta membuka ruang kerjaya kepada belia.

Lebih menarik, pameran ini menghimpunkan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) serta institusi kewangan terkemuka di negara ini. Ia menjadi platform inklusif bagi rakyat memahami pencapaian negara dalam pelbagai sektor melalui pendekatan yang interaktif dan informatif.

Tiga zon utama diperkenalkan dalam pameran ini, bermula dengan Zon Kebudayaan yang meraikan kekayaan warisan budaya Malaysia. Persembahan kebudayaan, pameran kraf tangan dan demonstrasi masakan tradisional disediakan bagi memberi pengalaman langsung kepada pengunjung tentang keunikan budaya tempatan.

Sementara itu, Zon Kewangan & Ekonomi memberi fokus kepada inovasi dan perkembangan sektor kewangan serta ekonomi Malaysia. Ceramah dan forum mengenai pelaburan, perancangan kewangan serta kemajuan industri kewangan serantau turut dijadualkan sepanjang pameran.

Tidak ketinggalan, Zon Belia menjadi tarikan utama bagi golongan muda yang ingin membina masa depan yang lebih cemerlang. Zon ini menyediakan pelbagai program seperti Program Graduan Kijang dan Speed Mentoring yang memberi peluang kepada belia untuk mendapat bimbingan secara langsung daripada pakar industri, sekali gus memperkukuh jaringan profesional mereka.

Secara keseluruhannya, Malaysia Open House Exhibition @ ASEAN 2025 merupakan sebuah inisiatif yang bukan sahaja memperkenalkan keunikan Malaysia kepada masyarakat umum dan pelawat serantau, malah turut menjadi platform strategik untuk memperkasakan golongan belia. Pameran ini menyerlahkan komitmen kerajaan dalam memacu keterangkuman dan inovasi melalui penglibatan aktif pelbagai pihak, sekali gus menjadikan acara ini sebagai satu usaha holistik ke arah Malaysia yang lebih progresif dan berdaya saing di peringkat ASEAN. – WILAYAHKU

Lensa:

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas