MALAYSIA berada pada kedudukan ke-10 negara paling selamat di dunia. Tentunya ini satu pencapaian yang mengagumkan kerana dari begitu banyak negara di dunia yang terdiri pelbagai benua‚ Malaysia diletakkan di tempat 10 teratas.
Turut membanggakan‚ di peringkat Benua Asia‚ Malaysia dikategorikan negara paling selamat selain Singapura. Kesemua fakta ini dilaporkan dalam portal majalah Travel Stop.
Rakyat Malaysia wajar berbangga dengan pencapaian Malaysia. Bagi kawan-kawan Kedai Kopi ini bukan pencapaian mudah. Pihak berkenaan pasti telah melakukan kajian teliti dan mendalam sebelum mengiktiraf Malaysia.
Pengiktirafan ini secara tidak langsung mengakui Malaysia ialah sebuah negara aman‚ politik stabil‚ tiada keganasan seperti di negara lain. Rakyat hidup bersatu rukun damai dengan tahap keselamatan terjamin‚ baik untuk warga negara atau mereka dari negara luar.
Ini sangat bermakna kerana walaupun Malaysia dianggap negara kerdil di Asia khasnya dan dunia amnya‚ ia boleh berdiri megah mampu mengatasi negara maju lain.
Oleh itu‚ kawan-kawan Kedai Kopi berharap rakyat Malaysia pertahan kedudukan sebagai negara selamat‚ malah berusaha lebih gigih untuk mencapai kedudukan lebih baik pada masa akan datang. Ini penting agar nama Malaysia terus harum di persada dunia.
Sekadar catatan‚ negara paling selamat di dunia menurut kedudukan tempat pertama hingga ke-10 masing-masing ialah Iceland‚ Ireland‚ Austria‚ New Zealand‚ Singapura‚ Switzerland‚ Portugal‚ Denmark‚ Slovenia dan Malaysia.