Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Malaysia negara pertama tawar ganjaran lapor rasuah

Gambar hiasan
- Diterbit 21 Jun 2024 9:20 AM MYT

MENAWARKAN ganjaran wang tunai kepada penjawat awam yang melaporkan rasuah dalam jabatan atau agensi disifatkan sebagai satu strategi untuk memerangi dan mengurangkan amalan tidak beretika. Ia sekali gus dapat membantu mendedahkan amalan yang mungkin kekal tersembunyi berikutan khuatir terdapat tindakan balas yang menjejaskan kehidupan pengadu.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata langkah yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan tindakan tepat dalam usaha menghapuskan amalan berkenaan hingga ke akar umbi.

Katanya, tindakan tersebut yang turut akan memburu penerima dan pemberi rasuah dilihat sebagai usaha bersepadu yang mampu menurunkan kadar rasuah di negara ini secara drastik.

“Tidak ada negara lain yang memberi ganjaran kepada penjawat awam secara khusus seperti Malaysia lakukan.

“Negara kita yang pertama di dunia melaksanakan ganjaran kepada penjawat awam dan dimaklumkan secara terbuka usaha ini bagi menggalakkan pelaporan rasuah serta menghapuskan jenayah ini secara total.

“Namun ganjaran kepada pengadu bukan penjawat awam telah  juga dirintis oleh beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada. Justeru kita terkehadapan dalam usaha ini,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Tawfik turut menyatakan keyakinan bahawa penjawat awam menerima dengan gembira berita tersebut dan ia mampu mengubah sikap terhadap usaha membasmi rasuah.

“Strategi yang dilaksanakan ini mampu mewujudkan perasaan menolak rasuah yang lebih kuat dalam sektor awam,” katanya.

Beliau berkata, meskipun bakal terdapat segelintir penjawat awam yang masih terlepas dan berpotensi merosakkan nama sektor awam namun golongan tersebut akan lebih berhati-hati dalam bertindak kerana mereka sedang diperhatikan oleh semua.

“Saya yakin jumlah peratusan segelintir penjawat awam bermasalah tersebut tidaklah besar tetapi langkah SPRM ini tepat pada masanya dan wajar disambut baik oleh semua pihak.

“Usaha ini juga dapat melancarkan operasi pejabat kerajaan dan mewujudkan tatakelola yang amat baik pada masa kini,” katanya.

Terdahulu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengumumkan penjawat awam yang melaporkan kes rasuah sehingga membawa kepada sabitan boleh diberi ganjaran wang tunai.

Azam berkata pemberi maklumat kepada kerajaan akan diberi ganjaran sama seperti tawaran suapan kerana membantu dalam membanteras kegiatan rasuah.

“Ringgit untuk ringgit, jika anda ditawarkan RM100, kerajaan akan beri anda RM100. Jika anda ditawarkan RM1 juta, kerajaan akan kembalikan RM1 juta kepada anda,” katanya ketika tampil dalam sebuah program radio tempatan.

Azam berkata, melalui dasar sedia ada, seramai 514 penjawat awam sudah diberi ganjaran berjumlah lebih RM1 juta antara 2012 hingga 2023 kerana melaporkan kes rasuah yang membawa kepada sabitan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas