Berita

Malaysia negara ‘luar biasa’

ANWAR hadir merasmikan Alamanda Berwajah Baharu di Pusat Beli-Belah Alamanda, Putrajaya hari ini.
- Diterbit 23 Februari 2025 5:01 PM MYT

“PEMULIHAN dan keberdayaan ekonomi yang pesat serta keupayaan rakyat memajukan negara menjadi tarikan pelabur asing datang ke Malaysia,” ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau percaya, Malaysia adalah negara ‘luar biasa’.

“Mana ada negara di dunia yang masyarakatnya berbilang kaum dan pelbagai agama tetapi boleh hidup dengan damai.

“Ada negara yang sudah kecundang sedikit, lemah dengan pelbagai skandal, kemudian datang COVID-19. Tetapi kita sekarang mencatatkan pertumbuhan yang baik, (menerima) pelaburan yang tinggi, menjadi (destinasi) pusat data dan hab semikonduktor.

“Oleh itu, kita bagi penghargaan kepada pemuda, penghargaan kepada pengurusan, penghargaan kepada peniaga, penghargaan kepada tukang cuci,” kata beliau pada Majlis Perasmian Alamanda Berwajah Baharu di sini hari ini.

ANWAR hadir merasmikan Alamanda Berwajah Baharu di Pusat Beli-Belah Alamanda, Putrajaya hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings (PJH), Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud.

Anwar berkata, Malaysia menjangkakan lebih ramai pemimpin luar termasuk Presiden China dan Afrika Selatan akan mengadakan lawatan selepas ini.

“Mungkin bila Ramadan nanti, tangguh sekejap (lawatan pemimpin negara) dan akan sambung semula selepas April,” kata beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas