LANDSKAP demografi global sedang mengalami transformasi yang mendalam. Banyak negara, termasuk Malaysia, sedang mengalami perubahan ketara ke arah populasi yang semakin tua serta menghampiri status negara menua 2030 sekali gus menimbulkan cabaran dan peluang untuk masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan.
Salah satu cabaran utama negara menua ialah memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup warga emas. Ini termasuk menangani keperluan penjagaan kesihatan, menyediakan sokongan sosial yang mencukupi dan mewujudkan persekitaran yang mesra umur. Selain itu, terdapat implikasi ekonomi, seperti potensi tekanan pada sistem pencen, pasaran buruh dan perkhidmatan awam.
Ia turut menawarkan peluang untuk inovasi dan pertumbuhan menerusi Silver Economy yang merangkumi produk dan perkhidmatan yang disesuaikan dengan keperluan orang dewasa yang lebih tua, dijangka berkembang maju. Malah kebijaksanaan dan pengalaman generasi lama boleh dimanfaatkan untuk manfaat kepada masyarakat dalam pelbagai cara, seperti melalui bimbingan dan kesukarelawanan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menekankan kepentingan pendekatan holistik terhadap penjagaan warga emas dalam memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup golongan tersebut sekali gus mencari kaedah tuntas dalam menghadapi cabaran berkenaan.
Katanya, kerajaan turut menyedari kesan ketara cabaran kesihatan, ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh warga emas, justeru itu, pelan tindakan negara menua Wilayah Persekutuan akan dibangunkan dengan kerjasama erat agensi pusat lain, khususnya Kementerian Ekonomi, bagi memastikan ia diselaraskan dengan keutamaan negara.
“Pelan tindakan ini akan menjadi usaha kolaboratif, melibatkan input daripada wakil masyarakat, organisasi dan pakar.
“Kami faham warga emas mempunyai keperluan tersendiri dan pendekatan pertemuan dengan masyarakat serta persatuan dan organisasi yang terlibat dalam penjagaan warga emas akan dapat mencari jalan untuk menghadapi cabaran tersebut.
“Kami akan menjalankan sesi penglibatan dalam masa terdekat untuk memastikan pelan yang benar-benar inklusif dan komprehensif yang menangani semua aspek kritikal penjagaan warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Temu Rapat Dr Zaliha Bersama Persatuan, Wakil Masyarakat, Organisasi & Warga Emas di Institut Latihan DBKL di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Zaliha menjelaskan dalam usaha untuk melaksanakan pendekatan dan menguruskan status negara menua, kerajaan memerlukan keazaman politik dan kesungguhan serta sokongan bagi memboleh sebarang pelan perancangan digubal sebagai panduan kepada negara pada masa depan.
“Kita perlu ada faktor utama yang dapat memandu setiap perancangan yang akan dimasukkan di dalam pelan ini dan keyakinan ini selari dengan tindakan Kementerian Ekonomi menerusi Pelan Rancangan Malaysia (RMK)-13 sudah mengambil kira elemen masyarakat menua.
“Ia juga membuktikan kerajaan serius merintis langkah ke hadapan dan juga bersedia dan belajar daripada negara lain seperti Jepun dan Singapura dalam menguruskan masyarakat menua,” katanya.
Zaliha memberi jaminan bahawa semua maklum balas dan cadangan yang diterima daripada masyarakat akan dipertimbangkan dengan teliti dan dimasukkan ke dalam pelan tindakan akhir.
Beliau menambah, komitmen dan penglibatan masyarakat telah mendorong kerajaan bagi memastikan keperluan dan kesejahteraan warga emas diutamakan dalam semua keputusan dasar.
“Walaupun populasi warga emas di Wilayah Persekutuan berjumlah kira-kira 12 peratus, kita tidak boleh bersikap lalai, memandangkan Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2030.
“Segala input yang diberikan semasa forum itu akan membantu kerajaan menggubal dasar yang lebih sesuai, berkesan dan mampu memberi impak positif kepada warga emas,” kata beliau.
Sementara itu, hampir 1,000 peserta mengambil bahagian di dalam sesi dialog berkenaan yang terdiri daripada persatuan penduduk, persatuan kebajikan dan pusat-pusat jagaan warga emas di seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya. – WILAYAHKU