PUSAT Kesihatan Ideal menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Care Concierge, bagi memulakan kerjasama strategik untuk mempertingkatkan perkhidmatan pemulihan geriatrik di negara ini.
Dua organisasi itu akan menyatukan kepakaran dalam fisioterapi perubatan, rawatan di rumah dan penjagaan jururawat profesional bagi menyediakan penyelesaian menyeluruh buat warga emas yang memerlukan rawatan pemulihan yang kompleks.

Pengasas Ideal, Dr Faizi Rosli, berkata kerjasama itu bertepatan pada waktunya apabila Malaysia kini menuju status ‘negara tua’ menjelang tahun 2030, di mana lebih 15 peratus penduduk dijangka berusia 60 tahun ke atas.
“Dalam keadaan sekarang, ramai keluarga terpaksa bergelut dengan sistem penjagaan yang tidak
teratur dari segi temu janji perubatan, keperluan fisioterapi, sehingga ke penjagaan kejururawatan kerana biasanya ia dikendalikan pihak yang berbeza.
“ Pemulihan warga emas bukan sekadar soal perubatan semata-mata kerana ia adalah gabungan rawatan klinikal, penjagaan harian, dan sokongan berterusan yang perlu diselaraskan,” katanya.
Biasanya ujar Dr Faizi, keluarga terpaksa menyusun sendiri pengurusan rawatan dan penjagaan harian, yang akhirnya menambah tekanan emosi dan kewangan.
Oleh itu, gabungan Ideal dan Care Concierge dijangka dapat memberi laluan penjagaan yang lebih mudah dan menyeluruh.
Sementara itu, Ketua Pengarah Care Concierge, Justin Yap yang mewakili industri penjagaan jururawat dan pengasuh profesional menyifatkan kolaborasi ini bukan sekadar projek perniagaan, tetapi satu keperluan untuk membina sistem penjagaan yang lebih cekap.
“Kakitangan jururawat kami memantau dan menjaga keperluan harian pesakit, manakala pasukan
Ideal memastikan proses pemulihan mereka berkembang dengan baik dan kami akan membentuk
pelan rawatan yang holistik dan berkesan,” katanya.
Justin berkata, ini bukan sahaja mempercepatkan pemulihan tetapi dapat mengurangkan kadar
kemasukan semula ke hospital.
Pada masa sama meringankan penjaga yang selama ini terpaksa mengambil cuti panjang atau berhenti kerja demi menjaga ibu bapa mereka sepenuh masa.
“Isu sebenar bukan hanya tentang perkhidmatan penjagaan tetapi tentang kualiti hidup.
“Setiap warga emas berhak meniti usia mereka dengan penuh penjagaan, keselesaan dan peluang untuk kekal berdikari.
“Untuk itu, semua pihak perlu bekerjasama bermula daripada pasukan perubatan sehinggalah keluarga pesakit.
“Kerjasama ini menyatukan semua elemen itu dalam satu ekosistem yang lebih tersusun,” katanya.
Tambah Justin, jika model ini dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat nasional, ia berpotensi
menjadi solusi dalam menyelesaikan krisis penjagaan warga emas di Malaysia.-WILAYAHKU