Berita

Malaysia masih menunggu pengumuman rasmi Arab Saudi

BAKAL jemaah haji akan diberitahu sejurus mendapat kenyataan rasmi daripada Arab saudi mengenai perjalanan ibadah haji tahun ini. Kredit foto oleh: Riyadh Express SEJAK tahun lalu TH giat membuat persediaan operasi haji tanah air dan Tanah Suci bagi memastikan kelancaran urusan bakal haji Malaysia pada tahun ini. Kredit foto oleh: Riyadh Express
- Diterbit 24 Mei 2021 1:14 PM MYT

KERAJAAN Malaysia dan Lembaga Tabung Haji (TH) masih lagi menunggu pengumuman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi mengenai perjalanan ibadah haji bagi Musim Haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau mengambil maklum mengenai beberapa sebaran daripada media tanah air serta Arab Saudi berkenaan perjalanan ibadah haji dan masih menunggu pengumuman rasmi.

“Secara rasminya, pihak Kerajaan Malaysia dan TH masih menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah haji, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah untuk Musim Haji pada kali ini,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Ujarnya, sejak tahun lalu TH giat membuat persediaan operasi haji tanah air dan Tanah Suci bagi memastikan kelancaran urusan bakal haji Malaysia pada tahun ini.

“Persiapan awal telah diperkukuhkan dengan mengambil kira amalan norma baharu di stesen berlepas semasa bakal haji melapor diri dan persiapan dari segi penginapan, pengangkutan, penerbangan, serta sajian makan telah dilakukan di Makkah juga Madinah,” katanya.

Menurut Zulkifli, beberapa siri mesyuarat dan bengkel secara berkala telah diadakan bagi persediaan kesihatan serta keselamatan jemaah haji.

“TH juga telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan secara berkala dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi persediaan kesihatan serta keselamatan jemaah haji di Tanah Suci.

“Kursus Asas Haji selama 13 minggu juga telah berjaya dianjurkan dengan lancar di seluruh negara secara dalam talian bagi melengkapkan bakal jemaah haji dengan ilmu pengetahuan dan maklumat terkini serta gambaran suasana semasa di Tanah Suci,” katanya.

Tambah beliau, bagi memenuhi prasyarat wajib yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi, TH telah menyarankan bakal jemaah haji Malaysia untuk mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau laman sesawang www.vaksincovid.gov.my bermula Mac 2021.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata Kerajaan Malaysia akur dengan apa jua keputusan Arab Saudi serta menasihatkan bakal jemaah haji untuk bersabar dan membuat persiapan sebaiknya.

“Kerajaan Malaysia akur dengan apa jua keputusan berkenaan kebenaran mengerjakan ibadah haji dan kuota jemaah haji negara daripada Kerajaan Arab Saudi kelak dan kita akan mengumumkan keputusannya kepada bakal jemaah haji sejurus mendapat kenyataan rasmi daripada pihak sana.

“Saya juga ingin menasihatkan bakal jemaah haji untuk bersabar serta membuat persiapan sebaiknya dari sudut ilmu, fizikal, spiritual dan semestinya mendaftar untuk pengambilan vaksin COVID-19 agar pelaksanaan ibadah haji di Tanah Suci kelak berjalan lancar,” katanya. – WILAYAHKU – DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas