KERAJAAN dipercayai mampu membangunkan aplikasi media sosial khusus kepada rakyat Malaysia jika mempunyai keupayaan infrastruktur, kepakaran dan sumber kewangan, kata Pakar Teknologi, Dr Ir Muhidin Arifin.
Beliau berkata infrastruktur seperti Internet yang mantap sangat penting untuk memastikan pengguna menggunakan platform media sosial dengan lancar.
“Akses Internet berkelajuan tinggi, pelayan boleh dipercayai (reliable servers) dan pusat data (data centres) adalah penting.
“Di samping perlu sekurang-kurangnya 70 tenaga kerja mahir dalam teknikal dan profesional diperlukan untuk membangunkan platform media sosial sendiri,” kata beliau.
Pada Ahad lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerajaan memaklumkan akan meneliti cadangan mewujudkan aplikasi media sosial khusus untuk kegunaan rakyat Malaysia seperti yang sedang diusahakan oleh beberapa negara.
Bagaimanapun, Selasa lalu, Fahmi berkata pihaknya akui kos membina platform media sosial sangat tinggi dan keutamaan kerajaan adalah menyelesaikan isu-isu lain yang lebih utama seperti sekolah daif.
Dalam pada itu, Muhidin yang juga Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) bersetuju bahawa untuk membangunkan platform media sosial sendiri memerlukan sumber kewangan yang besar.
Beliau berkata ini berikutan membabitkan kos membangun dan menyelenggara untuk mengekalkan platform media sosial.
“Faktor lain yang mempengaruhi kos adalah kerumitan platform dan memerlukan kemas kini serta sokongan pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Pakar Teknologi, Dr Shafiza Mohd Shariff berpandangan tiada masalah untuk mana-mana syarikat berkemampuan untuk membuat platform media sosial sendiri.
Beliau berkata bagaimanapun kebimbangannya adalah mengenai proses pemantauan aktiviti yang selari dengan akta-akta keselamatan dan kesulitan data negara.
Katanya, begitu juga dengan kemampuan platform itu untuk memastikan data rakyat selamat daripada disalahgunakan oleh unauthorised user sama ada penggodam atau pun daripada pihak kerajaan.
“Persediaan ini sangat penting oleh bakal penyedia servis platform media sosial dari Malaysia.
“Tanggungjawab besar yang perlu dipikul dari segi kemampuan infra untuk memastikan servis yang cepat dan tepat kepada semua pengguna.
“Keselamatan, perlindungan peribadi data pengguna dan kemampuan melaksanakan keperluan akta Malaysia serta memastikan ketelusan dalam proses perkhidmatan yang disediakan,” katanya. – WILAYAHKU