MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim zionis ke atas ibu pejabat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di Naquora, kelmarin, dalam serangan udara dan pencerobohan melalui darat yang berterusan di Lubnan.
Menurut Wisma Putra, serangan tersebut telah menyebabkan kecederaan kepada dua anggota pengaman.
“Malaysia juga mengutuk serangan udara oleh rejim zionis ke atas kawasan kediaman yang padat terletak di Ras el-Nabaa dan al-Nuweiri, Beirut yang mengorbankan 22 orang dan mencederakan berpuluh orang yang lain.
“Serangan berterusan yang menyasarkan kakitangan PBB dan orang awam yang tidak bersalah adalah satu pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tegas Wisma Putra, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan serangan berterusan oleh Israel dan mendesak Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB termasuk resolusi 1701 (2006).
Katanya, serangan ke atas UNIFIL adalah serangan ke atas Majlis Keselamatan PBB dan terhadap Piagam PBB.
“Malaysia menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil langkah-langkah untuk memastikan keselamatan kakitangan UNIFIL.
“Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 berpangkalan di Tibnin dan Marakah dilaporkan selamat,” katanya. – WILAYAHKU