Berita

Malaysia kuasai industri jualan langsung global, sumbang RM34.4 bilion kepada ekonomi negara

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 10 Mac 2025 3:30 PM MYT

MALAYSIA terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri jualan langsung global apabila berjaya menyumbang sebanyak RM34.4 bilion kepada ekonomi negara pada penghujung tahun 2024, meningkat 7.4 peratus berbanding RM32.04 bilion pada tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr. Fuziah Salleh, berkata kerajaan komited dalam memperkasakan industri ini menerusi pemerkasaan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 [Akta 500] yang sedang dipinda secara komprehensif.

“Pindaan ini bertujuan menyesuaikan industri dengan perubahan dinamik pasaran semasa bagi mewujudkan ekosistem yang lebih menyeluruh, mapan, dan holistik.

“Ia juga akan menggalakkan amalan perniagaan yang beretika sejajar dengan aspirasi kerajaan melalui konsep Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FUZIAH (tengah) pada Majlis Penyerahan Lesen Jualan Langsung.

Katanya, menurut laporan World Federation of Direct Selling Associations (WFDSA), Malaysia mengekalkan prestasi cemerlang di kedudukan ke-6 dunia dan ke-4 di Asia Pasifik bagi tempoh 2020 hingga 2024.

“Lebih membanggakan, negara ini turut diiktiraf sebagai negara dengan penembusan pasaran tertinggi di peringkat global, mencatatkan kadar 2.28 peratus – mengatasi negara-negara lain dan setanding dengan pasaran maju seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jerman, China, dan Jepun,” katanya.

Menurut Fuziah, sebagai langkah bagi memastikan industri ini berkembang secara terkawal dan berintegriti, sebanyak 45 syarikat jualan langsung telah menerima lesen, merangkumi 18 syarikat baharu dan 27 syarikat pembaharuan lesen.

“Ini bagi memastikan semua syarikat yang beroperasi mematuhi garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan, sekali gus melindungi hak pengguna,” katanya.

Beliau berkata KPDN turut menegaskan komitmen dalam memperkasa pembangunan industri jualan langsung melalui usaha mendaya upaya perkhidmatan dan produk ke arah ekosistem perniagaan yang lebih kondusif serta dinamik.

“Kerajaan optimis bahawa industri ini akan terus berkembang secara holistik, membuka lebih banyak peluang perniagaan, menjana pendapatan masyarakat, serta memberikan impak positif terhadap pertumbuhan sosioekonomi negara,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas