MALAYSIA dan Korea Selatan menegaskan keazaman untuk mengukuhkan kerjasama dua hala melalui Perkongsian Strategik empat bidang utama.
Empat bidang itu adalah kerjasama politik dan keselamatan selain kerjasama ekonomi yang merangkumi aspek pelaburan dan perdagangan; menyemarakkan lagi Dasar Pandang Ke Timur 2.0; digital dan teknologi maklumat; infrastruktur; kesihatan dan sains perubatan; alam sekitar dan tenaga serta pertanian.
Perkongsian Strategik itu diteruskan dengan kerjasama kebudayaan, pendidikan dan pelancongan serta kerjasama serantau dan di peringkat global.
Iltizam itu disuarakan menerusi kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol sebaik sahaja kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan di Seoul hari ini.
Perdana Menteri ketika ini berada di negara Asia Timur itu dalam lawatan rasminya bermula semalam sehingga esok.
Dalam kenyataan bersama yang dikongsi Wisma Putra, kedua-dua negara telah bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga serta pendidikan sejak membina hubungan diplomatik pada 1960.
“Menyedari bahawa kerjasama dalam industri pertahanan adalah simbol kepada keyakinan bersama yang mantap dalam Perkongsian Strategik, kedua-dua pihak bersetuju untuk terus meneroka penyelidikan dan pembangunan (R&D), kerjasama teknologi ketenteraan, dan industri pertahanan.
“Dalam bidang ekonomi, Malaysia dan Korea Selatan menegaskan semula keperluan mengembangkan sektor berkenaan dan memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas dua hala menjelang 2025,” jelas kenyataan bersama itu.
Kenyataan bersama itu menyebut, Malaysia dan juga Korea Selatan turut melahirkan kebimbangan terhadap krisis di Gaza serta Lubnan dengan menggesa kepada penyelesaian yang aman.
Kenyataan bersama itu seterusnya mengecam penggunaan teknologi peluru berpandu balistik oleh Korea Utara.
Korea Selatan juga katanya, menyokong kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan akan bekerjasama memastikan Malaysia mencapai kejayaan mengemudi pertubuhan itu.
Kedua-dua pemimpin juga menekankan legasi Dasar Pandang ke Timur Malaysia, yang telah mengukuhkan pertukaran budaya dan pendidikan sejak 40 tahun lepas. – WILAYAHKU