Berita

Malaysia kekal, perkukuh hubungan perdagangan dengan AS

- Diterbit 26 Februari 2025 12:00 PM MYT

MALAYSIA akan menggunakan platform Memorandum Kerjasama dalam Rantaian Bekalan Semikonduktor bagi memastikan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) khususnya industri berkaitan terpelihara.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), kerajaan juga sedang mengambil langkah proaktif untuk mengekalkan dan memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala yang stabil dan dinamik dengan AS.

Jelasnya, ia juga memastikan Malaysia tidak terjejas oleh sekatan yang dikenakan terhadap negara lain, terutama China.

“Usaha ini akan dicapai melalui penyediaan ekosistem pelaburan yang kondusif dan mesra pelabur, pelaksanaan peraturan kawalan eksport dan pengurusan perdagangan strategik yang efektif, serta pematuhan piawaian antarabangsa yang meyakinkan pelabur,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

MITI menjawab soalan mengenai kesan secara langsung dan tidak langsung ke atas pengeluar cip AI dan semikondutor Malaysia akibat beberapa sekatan baharu yang diambil oleh AS ke atas China.

Kementerian itu menambah, baru-baru ini AS telah menangguhkan pelaksanaan tarif kepada Kanada dan Mexico setelah kedua-dua negara ini mengadakan rundingan dengan Presiden Donald Trump.

“Ini menunjukkan bahawa terdapat ruang untuk berunding dengan kerajaan AS untuk perkara ini,” katanya.

Jelas MITI, pada tahun lalu, AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM324.9 bilion, iaitu 11.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Selain itu katanya, jumlah eksport ke AS berjumlah RM198.6 bilion (13.2% daripada jumlah eksport Malaysia), manakala import dari AS mencapai RM126.3 bilion (9.2% daripada jumlah import Malaysia).

“Pasaran ke AS adalah di dalam kedudukan ketiga teratas bagi semikonduktor yang dieksport daripada Malaysia.

“AS juga merupakan antara pelabur terbesar di Malaysia. Pada 2024, AS melabur sebanyak RM5.15 billion iaitu kira-kira 13.2% daripada keseluruhan pelaburan luar Malaysia. Sehingga kini, terdapat lebih 600 syarikat AS memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka,” katanya.

MITI menambah, data-data itu menunjukkan saling kebergantungkan perdagangan di antara Malaysia dengan AS. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas